
Majlis Bandaraya Ghent di Belgium menggesa kerajaan wilayah Flemish supaya menyiasat rekod hak asasi manusia sebuah syarikat pengangkutan Israel yang anak syarikatnya di Belanda bakal mengendalikan perkhidmatan bas rentas sempadan baharu, lapor penyiar awam Belgium, VRT, pada Rabu.
Laluan terus yang dirancang menghubungkan bandar Ghent di Belgium dan Terneuzen di Belanda itu sebelum ini telah dianugerahkan kepada pengendali bas dari Belanda, EBS, yang merupakan anak syarikat kepada firma Israel, Egged Transportation.
Pihak berkuasa Ghent menegaskan bahawa Egged “terlibat secara aktif dalam pencabulan hak asasi manusia” dan menggesa kerajaan Flemish meneliti secara terperinci operasi syarikat berkenaan serta hubungannya dengan perkhidmatan pengangkutan yang dirancang tersebut.
Laluan Bas ke Penempatan Haram Israel
Untuk rekod, syarikat Egged mengendalikan rangkaian laluan bas yang menghubungkan Israel dengan penempatan haram di Tebing Barat yang diduduki serta Baitulmaqdis Timur.
Syarikat itu turut tersenarai dalam pangkalan data perniagaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai entiti yang terlibat dalam aktiviti berkaitan peluasan penempatan haram Israel di wilayah Palestin yang diduduki.
Menerusi jawapan bertulis kepada soalan parlimen pada tahun 2025, kerajaan Belanda sebelum ini telah mengesahkan bahawa Egged merupakan pemilik kepada EBS dan sememangnya disenaraikan dalam pangkalan data PBB berkenaan.
Dalam kenyataan sama, kerajaan Belanda memaklumkan bahawa pihaknya tidak menggalakkan sebarang hubungan ekonomi dengan syarikat-syarikat yang beroperasi di penempatan haram Israel di wilayah yang diduduki, namun mengakui tidak mempunyai maklumat lanjut berhubung aliran kewangan antara EBS dan syarikat induknya.
Laluan bas rentas sempadan baharu itu pada asalnya dirangka bagi mewujudkan jaringan sambungan pengangkutan awam secara terus antara Ghent dan Terneuzen.
Sumber: Agensi Anadolu (AA)