Banduan Gaza Maut Dalam Penjara Israel Akibat Dinafikan Rawatan Perubatan

Institusi hak asasi manusia Palestin melaporkan seorang lagi tahanan dari Gaza meninggal dunia di dalam penjara Israel, sekali gus meningkatkan jumlah rakyat Palestin yang maut dalam tahanan sejak Oktober 2023 kepada 87 orang. Dalam satu kenyataan bersama oleh Suruhanjaya Hal Ehwal Banduan dan Persatuan Banduan Palestin, mangsa dikenal pasti sebagai Hamza Abdullah Abdulhadi Adwan yang berusia 67 tahun. Beliau disahkan meninggal dunia pada 9 September 2025 selepas menghidap penyakit jantung kronik yang memerlukan rawatan perubatan berterusan.

Hamza ditangkap oleh tentera Israel pada 12 November 2024 di sebuah pusat pemeriksaan tentera di utara Gaza. Beliau meninggalkan seorang isteri dan sembilan anak, di mana dua daripada anaknya telah terkorban sebelum serangan genosid Gaza bermula pada Oktober 2023. Kumpulan hak asasi manusia mendakwa kematian Hamza adalah akibat daripada penderaan sistematik yang dilakukan oleh pihak berkuasa Israel terhadap tahanan Palestin, termasuk penyeksaan fizikal, kebuluran, serangan seksual, serta pengabaian rawatan perubatan secara sengaja dalam keadaan yang tidak berperikemanusiaan.

Laporan tersebut turut mendedahkan angka yang membimbangkan di mana sejak Oktober 2023, seramai 87 tahanan yang dikenal pasti secara rasmi telah maut dengan 51 daripadanya berasal dari Gaza, walaupun angka sebenar dipercayai melebihi 100 orang. Sehingga kini, terdapat lebih 9,300 rakyat Palestin yang meringkuk di penjara Israel termasuk sekurang-kurangnya 3,385 individu yang ditahan di bawah tahanan pentadbiran tanpa sebarang pertuduhan atau perbicaraan rasmi. Pihak berkuasa Palestin dan organisasi hak asasi menegaskan bahawa Israel bertanggungjawab sepenuhnya atas kematian Hamza Adwan dan menggesa komuniti antarabangsa mengambil tindakan tegas bagi mengheret pemimpin Israel ke muka pengadilan atas dakwaan jenayah perang.

Sumber: Agensi Anadolu / TRT World

Exit mobile version