
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa setiap pelan bantuan kemanusiaan dari Malaysia ke Palestin mesti disusun dengan teliti dan disalurkan secara berkesan agar benar-benar sampai kepada mereka yang paling memerlukan di Gaza.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan rangkaian masyarakat sivil Malaysia yang menggerakkan Ops Ihsan dan Sumud Nusantara, dua inisiatif kemanusiaan utama negara yang sedang menyelaras tindakan segera menghantar bantuan ke wilayah bergolak itu.
“Pelan bantuan dari Malaysia mesti dikoordinasi dengan teliti dan berkesan agar setiap bantuan benar-benar sampai kepada mereka yang memerlukan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Anwar turut menzahirkan keyakinan bahawa dengan kebijaksanaan, kecekapan serta semangat solidariti yang ditunjukkan semua pihak, misi ini akan dapat meringankan penderitaan rakyat Gaza.
Menurut beliau, usaha bersama itu bukan sekadar misi bantuan, tetapi juga lambang keprihatinan dan kemanusiaan rakyat Malaysia terhadap perjuangan Palestin.
“Dengan kebijaksanaan dan semangat solidariti yang kita tunjukkan, saya yakin usaha ini akan membantu meringankan penderitaan saudara-saudara kita di Gaza,” katanya lagi.