
Seorang bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) sebuah bank pelaburan adalah antara tiga individu yang bakal dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini dan Seremban esok, mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Berdasarkan semakan sistem mahkamah, bekas CEO terbabit bakal berdepan pertuduhan berhubung kes rasuah bernilai lebih RM130 juta di hadapan Hakim Azura Alwi.
Dalam prosiding berasingan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, seorang pengarah syarikat wanita bergelar ‘Datuk’ pula akan didakwa di hadapan Hakim Suzana Hussin. Wanita berkenaan sebelum ini pernah dikaitkan dengan siasatan pelaburan oleh SPRM serta pernah dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan pecah amanah.
Sementara itu di Seremban, seorang Ketua Pegawai Kewangan (CFO) sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) bakal dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas pertuduhan rasuah membabitkan nilai RM6.56 juta. Kes berkenaan dijangka didengar di hadapan Hakim M. Kunasundary.
Sumber: BERNAMA