Malaysia telah menekankan keperluan untuk memperkukuh kerjasama antara rantau ASEAN dan Korea Selatan dalam usaha membanteras jenayah rentas sempadan, terutamanya kes penipuan dalam talian.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata perkara tersebut merupakan antara isu utama yang diketengahkan oleh pihak Malaysia semasa Sidang Kemuncak ASEAN-Republik Korea (ASEAN-ROK) ke-27. Selain isu jenayah siber, sidang kemuncak itu turut membincangkan kepentingan memperluas sektor perdagangan, pelaburan, serta kerjasama dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dan ekonomi digital.
Menurut beliau, mesyuarat berkenaan turut mengambil kesempatan untuk meneliti hala tuju hubungan dialog serta kerjasama strategik yang terjalin antara ASEAN dan Republik Korea.
“Malaysia turut menyokong pendekatan dialog berterusan dan penyelesaian secara aman, bagi menjamin keamanan serta kestabilan di Semenanjung Korea. Komitmen ini mencerminkan pendirian Malaysia untuk terus memperkukuh kerjasama serantau dan hubungan antarabangsa demi kepentingan bersama,” ujar Perdana Menteri menerusi hantaran rasmi di platform X.
Untuk rekod, Korea Selatan kekal sebagai rakan dagang kelima terbesar bagi ASEAN, dengan nilai perdagangan merangkumi RM851.76 bilion pada tahun 2024, manakala aliran pelaburan langsung asing (FDI) dari negara itu ke rantau ASEAN mencatatkan nilai sebanyak RM30.71 bilion dalam tempoh yang sama.
Perdana Menteri kini mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 serta Sidang-Sidang Kemuncak Berkaitan yang berlangsung di Manila, Filipina, bermula 15 hingga 17 November.
Sumber: Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA)