
Seramai 102 bekas diplomat kanan Britain dan Perancis menandatangani surat terbuka mendesak kerajaan masing-masing bertindak tegas mempertahankan status kenegaraan Palestin serta menegakkan undang-undang antarabangsa.
Surat yang diterbitkan dalam akhbar Le Monde itu melibatkan tokoh penting seperti bekas Duta Britain ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Jeremy Greenstock dan Emyr Jones Parry, serta bekas Pengarah Timur Tengah di Kementerian Luar Perancis, Yves Aubin de la Messuziere dan Denis Bauchard.
Bekas diplomat berkenaan menuduh Israel secara terancang cuba memusnahkan sebarang prospek pembentukan negara Palestin yang berdaya maju menerusi dasar perobohan kediaman dan perluasan penempatan haram.
Antara Poin Utama Surat Terbuka:
-
Tuduhan Pembersihan Etnik: Perobohan kediaman serta keganasan peneroka haram di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur yang disokong oleh pihak tentera dan polis Israel disifatkan sebagai tindakan pembersihan etnik.
-
Tanggungjawab Bersejarah: Perancis dan UK digesa bertindak bersama atas kapasiti sebagai kuasa besar bersejarah di Timur Tengah dan ahli tetap Majlis Keselamatan PBB.
-
Isu Kredibiliti Demokratik: Tindakan Israel merampas hak serta tanah rakyat Palestin secara berterusan telah menjejaskan statusnya sebagai sebuah negara demokrasi di mata dunia.
-
Kebertanggungjawaban: Pihak yang terlibat dalam jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan mesti dipertanggungjawabkan bagi mengelakkan tuduhan amalan piawaian berganda oleh kuasa Barat.
Gesan ini hadir susulan tindakan Perancis dan Britain yang mengutuk pengeluaran tender baharu oleh kerajaan Israel bagi pembinaan penempatan haram di Tebing Barat, ketika ketegangan serantau terus meningkat selepas konflik berpanjangan di wilayah berkenaan.
Sumber: AFP / TRT World