
Beratus ratus penduduk Sweden berhimpun di Dataran Odenplan, Stockholm, bagi membantah tindakan Israel yang didakwa melanggar gencatan senjata di Gaza serta menyekat kemasukan bantuan kemanusiaan ke wilayah yang masih dikepung. Perhimpunan yang berlangsung pada Sabtu itu menyaksikan peserta melaungkan slogan solidariti dan mengangkat papan tanda seperti “Berdiri untuk Palestin” dan “Katakan tidak kepada pembunuhan beramai ramai”, menuntut tindakan lebih tegas daripada kerajaan Sweden.
Penunjuk perasaan turut menggesa Stockholm mengenakan sekatan senjata sepenuhnya terhadap Israel, dengan menegaskan bahawa sebarang bentuk sokongan ketenteraan hanya memperpanjang penderitaan rakyat Palestin. Mereka menyifatkan keadaan semasa tidak mencerminkan kewujudan gencatan senjata seperti yang dibincangkan di peringkat antarabangsa.
Dror Feiler, aktivis Yahudi yang hadir memberikan sokongan, berkata situasi sebenar di lapangan bercanggah dengan naratif rundingan damai. Menurutnya, rakyat Palestin di Gaza terus terbunuh setiap hari manakala pembersihan etnik didakwa berlarutan di Tebing Barat. Beliau menambah bahawa pasukan keselamatan Israel bukan sahaja gagal menghalang serangan peneroka, malah dilihat bersubahat dalam insiden keganasan terhadap penduduk Palestin.
Feiler turut mengkritik kerajaan Sweden yang menurutnya masih terlibat dalam urusan pembelian dan penjualan senjata dengan Israel. Beliau menegaskan bahawa sokongan politik dan diplomatik sebegitu tidak lagi boleh diterima pada saat rakyat Palestin menanggung penderitaan berterusan.
Sumber: AA