Bergerak Seawal 3 Pagi Bantu Mangsa Nahas Gerik, Sakri Raih Anugerah Kepimpinan UPSI

TANJONG MALIM, 26 November 2026 | Ketika rakan-rakannya ditimpa nahas bas di Gerik pada 9 Jun 2025, Nor Muhammad Sakri bin Nur Zuraidi bergerak ke lokasi kejadian seawal 3.00 pagi untuk membantu urusan di lapangan. Kesediaannya untuk berkhidmat itu antara sumbangan yang menyerlahkan kepimpinan graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berkenaan.

Nor Muhammad Sakri menerima Anugerah Khas Kepimpinan Alumni Dato’ (Dr) Sani Araby sambil disaksikan oleh Prof. Dr. Norkhalid Salimin (kiri) dan Dr. Wan Nurul Izza Wan Husin (dua dari kanan).

Sempena Istiadat Konvokesyen UPSI Ke-28, Sakri menerima Anugerah Khas Kepimpinan Alumni (Dr.) Sani Araby, yang memasuki tahun kelapan penganugerahan pada 2026. Graduan Ijazah Sarjana Muda Reka Bentuk (Animasi) dengan Kepujian itu turut menonjol dalam bidang kreatif, kepimpinan mahasiswa, kesukarelawanan dan sukan.

Dato’ (Dr) Ahmad Sani Araby berkata anugerah itu mengiktiraf mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang dalam pengajian, malah sanggup menyumbang masa, tenaga dan kepakaran kepada universiti serta masyarakat. Dalam diri Sakri, semangat itu terserlah melalui khidmatnya dalam media kampus, bimbingan kepada rakan mahasiswa dan kesediaannya turun membantu ketika diperlukan.

Selama enam tahun, dari peringkat diploma hingga tamat pengajian sarjana muda, Sakri menyumbang kepada kerja media UPSI melalui fotografi, videografi, penyuntingan video, reka bentuk grafik dan animasi 3D. Beliau turut membimbing rakan mahasiswa yang berminat dalam bidang media dan multimedia.

Di peringkat kampus, Sakri pernah menggalas tugas sebagai Exco Media Majlis Perwakilan Pelajar UPSI bagi sesi 2024/2025 dan Exco Media Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar bagi sesi 2023/2024. Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Exco Akademik Persatuan Integrasi Media bagi sesi 2023/2024 serta Rakan Pesta Konvokesyen (PESKON) bagi edisi ke-25 hingga ke-27.

Dalam bidang kreatif, Sakri merupakan seorang daripada empat ahli pasukan yang menghasilkan *Hikayat Perkasa*. Karya itu meraih tempat kedua kategori Animasi Pendek dalam pertandingan DICE (Digital, Innovation & Creativepreneur) sempena Festival Idea Putrajaya 2026.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI, Prof. Dr. Norkhalid Salimin m

Majlis penyampaian anugerah anjuran Pusat Alumni UPSI itu berlangsung di Pusat Pelajar, Kampus Sultan Azlan Shah. Majlis turut dihadiri Naib Canselor UPSI, YBhg. Prof. Dato’ Dr. Md Amin bin Md Taff, bersama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Norkhalid bin Salimin.

Turut hadir dan menyampaikan anugerah pada majlis itu ialah YBhg. Dato’ Seri Sidek Saniff, mantan Menteri Negara Kanan bagi Pendidikan Singapura, dan YBhg. Dato’ Sri Haji Abdul Jabbar bin Haji Ibrahim, mantan Timbalan Menteri Besar Pahang. Kedua-duanya ialah alumni Sultan Idris Training College (SITC), institusi yang menjadi asas kepada penubuhan UPSI.

 

 

↑
Exit mobile version