
Kos tarif yang dikenakan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, sebahagian besarnya ditanggung oleh rakyat Amerika sendiri, menurut satu laporan terbaharu oleh sebuah institut penyelidikan yang berpangkalan di Jerman pada Isnin. Institut Ekonomi Dunia Kiel mendedahkan bahawa 96 peratus daripada beban tarif tersebut sebenarnya dipindahkan kepada pengimport dan pengguna di AS, manakala pengeksport asing hanya menanggung baki empat peratus.
Dapatan ini menyangkal retorik pentadbiran AS yang sering mendakwa bahawa kos tarif import ditanggung sepenuhnya oleh negara pengeksport. Laporan itu menegaskan bahawa walaupun pendapatan AS daripada tarif diunjurkan meningkat sekitar AS$200 bilion menjelang tahun 2025, dasar tersebut pada hakikatnya bertindak seperti cukai penggunaan ke atas produk import yang akhirnya membebankan ekonomi domestik.
Situasi ini berbeza dengan kenyataan Trump baru-baru ini yang mendakwa tarif telah membantu membendung inflasi dan menjana pendapatan luar biasa kepada negara. Namun, Institut Kiel memberi amaran bahawa langkah ini akan mengakibatkan margin keuntungan syarikat AS mengecil, harga barang meningkat untuk pengguna, serta pengurangan variasi produk di pasaran.
Pengarah Penyelidikan Kiel, Julian Hinz, menyifatkan pelaksanaan tarif tersebut sebagai satu “gol sendiri” bagi ekonomi Amerika. Beliau menegaskan bahawa dakwaan kononnya negara asing membayar tarif tersebut adalah satu mitos, memandangkan analisis data ke atas lebih 25 juta rekod penghantaran bernilai AS$4 trilion membuktikan sebaliknya.
SUMBER: Agensi Anadolu