New Delhi : Peningkatan kes covid-19 di India yang mencecah angka 400,000 kes sehari, bukan sahaja membuatkan sistem kesihatannya terjejas teruk, malah keadaan di bilik mayat juga sudah tidak terkawal.
Ada antara waris mangsa covid-19 diminta mencari sendiri mayat ahli keluarga, dengan membelek-belek longgokan mayat di dalam beg plastik biru yang sudah tidak tersusun.
Pengarah Hospital Theni K Vilakku di selatan Tamil Nadu, Balaji Nathan mengesahkan keadaan itu. Beliau juga melahirkan kekesalan dan rasa sedih atas kejadian yang berlaku. Ini kerana waris dibiarkan mencari sendiri mayat ahli keluarga di balik timbunan mayat dalam keadaan mereka tidak menggunakan alat pelindung.
Sebelum ini, sudah ada beberapa gambar dan rakaman viral yang menunjukkan keadaan mayat pesakit covid-19 yang dilempar dari jambatan oleh ahli keluarga, dan gambar mayat yang berselerak di kawasan pembakaran mayat.
Nathan memaklumkan, biasanya hanya seorang petugas yang dibenarkan masuk ke bilik mayat bagi mencari mayat waris, tetapi pada hari itu bilik mayat sangat sesak kerana jumlah mayat dari malam sebelumnya yang bertambah daripada kebiasaan.
Bagi mengatasi kesesakan di bilik mayat, pihak hospital memberi jaminan akan membina sistem rak bagi menampung lebih banyak mayat pesakit covid-19, dan berjanji kejadian itu tidak akan berulang lagi.
Sumber : India Today