
Ketua Kontinjen Malaysia (CDM) Mohd Yusri Abdul Ghani memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia selepas kontinjen negara menamatkan saingan Deaflympics Tokyo 2025 dengan pencapaian satu emas, dua perak dan satu gangsa, jauh daripada sasaran tiga emas yang ditetapkan Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf).
Mohd Yusri menegaskan beliau memikul sepenuhnya tanggungjawab atas kegagalan itu tanpa menyalahkan barisan 25 atlet yang berjuang habis-habisan sepanjang temasya, walaupun berdepan cabaran teknikal, psikologi dan fizikal yang menjejaskan prestasi mereka.
“Sewaktu Sukan SEA Jakarta dan Asia Pacific, prestasi mereka sangat memberangsangkan. Namun di Jepun, jurulatih memaklumkan atlet menjadi gemuruh apabila berdepan lawan yang lebih besar saiznya, yang menjejaskan semangat dan fokus. Walaupun begitu, beberapa rekod berjaya dipecahkan dan itu membanggakan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas episod dramatik di Higashiyamato Grand Bowl semalam apabila skuad boling campuran negara terlepas slot ke pusingan kedua hanya dengan perbezaan satu pin, sekaligus menutup peluang terakhir Malaysia menambah pingat.
Kontinjen negara menutup kempen Deaflympics Tokyo 2025 dengan satu emas (beregu lelaki boling), dua perak (karate kumite individu lelaki bawah 84kg dan beregu wanita boling) serta satu gangsa (beregu campuran badminton).
Mohd Yusri menambah pihaknya akan berbincang dengan badan induk untuk meningkatkan penyertaan atlet negara dalam kejohanan antarabangsa bagi memupuk ketahanan mental dan keserasian pertandingan menjelang edisi seterusnya.
Kerajaan MADANI sebelum ini meluluskan peruntukan tambahan RM3 juta kepada MSDeaf bagi memperkukuh latihan, logistik dan keperluan atlet, manakala Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh mengumumkan insentif kemenangan berjumlah RM80,000 untuk emas, RM40,000 untuk perak dan RM20,000 untuk gangsa sebagai penghargaan kepada atlet negara.
Sumber: BERNAMA