
China menggesa agar gencatan senjata di Gaza dilaksanakan dengan sepenuhnya selepas keadaan di wilayah terbabit kekal sangat rapuh berikutan serangan terbaharu Israel yang dikatakan melanggar perjanjian yang mula berkuat kuasa pada 10 Oktober lalu. Jurucakap Kementerian Luar China, Lin Jian, menyatakan kebimbangan itu pada sidang akhbar di Beijing pada Khamis ketika menjawab soalan mengenai tindakan ketenteraan Israel yang masih berterusan di kawasan yang dikepung.
Serangan terbaru berlaku tidak lama selepas Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu memberi amaran untuk bertindak balas susulan kecederaan beberapa anggota tenteranya dalam pertempuran dengan pejuang Hamas di Rafah pada Rabu. Menurut laporan Global Times, Lin menegaskan harapan Beijing agar gencatan senjata dihormati sepenuhnya, bantuan kemanusiaan dapat disalurkan dengan lebih bermakna, dan kestabilan serantau dipulihkan secepat mungkin.
Perjanjian gencatan senjata fasa pertama merangkumi pertukaran tebusan Israel dengan tahanan Palestin, selain rancangan pembinaan semula Gaza serta pembentukan struktur pemerintahan baharu yang tidak melibatkan Hamas.
Sejak Oktober 2023, serangan Israel dilaporkan telah meragut lebih 70,000 nyawa rakyat Palestin, majoritinya wanita dan kanak-kanak, manakala hampir 171,000 lagi cedera dalam operasi ketenteraan berterusan ke atas wilayah itu.
Sumber: TRT World dan Agensi