Dasar BDR Penjawat Awam Tidak Ganggu Ekonomi, Fokus Kekal Produktiviti – Akmal Nasrullah

Pelaksanaan dasar bekerja dari rumah (BDR) bagi penjawat awam yang dijadualkan bermula Rabu depan tidak akan menjejaskan trajektori ekonomi negara, sebaliknya bertujuan untuk memastikan tahap produktiviti terus terpelihara.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir menjelaskan bahawa dasar BDR kali ini mempunyai objektif yang berbeza berbanding ketika era pandemik COVID-19. Jika dahulu ia dilaksanakan untuk mengawal penularan virus, pelaksanaan kali ini lebih tertumpu kepada kesinambungan kerja tanpa mengganggu operasi ekonomi secara keseluruhan.

“Bekerja dari rumah bukan bermaksud untuk menghalang kegiatan ekonomi, tetapi untuk memastikan produktiviti tidak terganggu dan komitmen penjawat awam itu benar-benar melaksanakan tugasan di kediaman atau tempat masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV yang bertajuk “Mendepani Krisis Tenaga: Menjamin Kestabilan Ekonomi” di Wisma Bernama, malam tadi.

Jaminan Stok Makanan: Rakyat Diminta Jangan Panik

Mengulas mengenai kebimbangan orang ramai terhadap kestabilan bekalan susulan krisis tenaga global, Akmal Nasrullah memberi jaminan bahawa kerajaan melalui Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) telah mengambil langkah proaktif sejak awal Mac lalu.

Beliau menegaskan bahawa bekalan barang keperluan asas adalah mencukupi dan orang ramai diminta untuk tidak melakukan pembelian panik yang boleh mengakibatkan gangguan kepada stok sedia ada.

“Kita bertindak lebih proaktif untuk menjamin bekalan ini mencukupi… tetapi kaveatnya ialah kita perlu sama-sama memberi keyakinan untuk tidak mewujudkan sebarang penyorokan atau pembelian panik yang akan menyebabkan berlaku renjatan kepada stok yang sedia ada,” tambah beliau.

Cabaran Komunikasi Ekonomi

Dalam pada itu, Akmal Nasrullah mengakui bahawa menjelaskan isu ekonomi yang mencabar kepada rakyat menuntut pendekatan komunikasi yang lebih jelas dan mudah difahami.

Pihak kementerian kini giat menggunakan platform digital seperti video pendek secara konsisten untuk merakyatkan isu ekonomi. Beliau menjangkakan tempoh sekitar dua bulan diperlukan untuk turun ke lapangan bagi memberi penjelasan dan membina keyakinan rakyat sebelum sebarang keputusan besar diambil.


SUMBER: BERNAMA

Exit mobile version