Dewan Rakyat: Fokus Pelaksanaan ‘Smart Lane’, Isu Lori Lebih Muatan & Perjanjian ART Jadi Tumpuan

Persidangan Dewan Rakyat hari ini dijangka hangat dengan perbincangan mengenai keberkesanan ‘smart lane’ di lebuh raya serta impak penguatkuasaan dasar lori lebih muatan terhadap rantaian bekalan negara.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat, isu keselamatan dan mekanisme pemantauan ‘smart lane’ akan dibangkitkan oleh Manndzri Nasib (BN-Tenggara). Beliau meminta Kementerian Kerja Raya memperincikan penggunaan teknologi bagi memastikan lorong kecemasan yang diaktifkan sebagai ‘smart lane’ tidak meningkatkan risiko kemalangan jalan raya.

Impak Dasar Lori Lebih Muatan

Dalam sesi yang sama, bekas Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam), dijangka menuntut penjelasan mengenai tindakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang menguatkuasakan dasar lori lebih muatan secara serta-merta sejak Oktober 2025.

Beliau membangkitkan persoalan mengenai ketiadaan tempoh peralihan yang munasabah serta kesannya terhadap kos logistik dan kos sara hidup rakyat yang kini semakin mencabar.

Kedudukan Malaysia dalam ART

Selain isu pengangkutan, Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) turut mengemukakan soalan kritikal kepada Menteri Pelaburan, Perladangan dan Industri berhubung Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART). Beliau ingin tahu kedudukan Malaysia berbanding negara jiran di Asia Tenggara yang masih belum meratifikasi perjanjian berkenaan serta justifikasi kerajaan meneruskan komitmen tersebut.

Isu kebajikan turut tersenarai apabila Mohamad Shafizan Kepli (GPS-Batang Lupar) meminta penjelasan mengenai kriteria baharu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam menilai semula kelayakan penerima bantuan bulanan yang kini dilihat semakin diperketatkan.

Perbahasan Titah Diraja Diteruskan

Selepas tamat sesi soal jawab lisan, Dewan Rakyat akan menyambung semula perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja oleh Ahli-Ahli Parlimen. Persidangan kali ini dijadualkan berlangsung selama 20 hari sehingga 3 Mac depan.

Sumber: BERNAMA

Exit mobile version