M7: Selangor Red Giants Enggan Selesa, Waspada Ancaman ‘Kuda Hitam’ Aurora

Pasukan gergasi MLBB negara, Selangor Red Giants (SRG) kini berada di ambang sejarah untuk mengesahkan tempat ke pentas final upper bracket Kejohanan Dunia Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) M7.

Walau bagaimanapun, cabaran getir menanti mereka esok apabila dijadualkan bertemu wakil Turkiye, Aurora Gaming (Aurora), dalam pertarungan yang dijangka sengit.

Ketua Jurulatih SRG, Michael Angelo Bocado (Coach Arcadia), menegaskan bahawa pasukannya tidak boleh menarik nafas lega dan perlu menghormati kemampuan Aurora yang dianggap sebagai “kuda hitam” paling berbahaya dalam kejohanan kali ini.

“Bagi saya, Aurora adalah pasukan yang mempunyai mentaliti juara dan sentiasa berupaya mencipta kejutan dalam mana-mana kejohanan. Kami perlu bersiap sedia sepenuhnya untuk menghadapi mereka,” katanya.

Adaptasi Strategi Kunci Kemenangan

Mengulas mengenai format perlawanan best-of-five (BO5) esok, Bocado menjelaskan bahawa faktor teknikal sahaja tidak mencukupi. Sebaliknya, keupayaan pemain untuk membaca corak permainan lawan dan melakukan adaptasi strategi secara pantas akan menjadi penentu kemenangan.

“Dalam siri BO5, sejauh mana pasukan boleh menyesuaikan diri dengan strategi lawan akan memberi kelebihan besar. Itu yang akan membezakan pemenang esok,” tambahnya lagi.

SRG sebelum ini mempamerkan prestasi cemerlang dengan menumbangkan Team Spirit 2-0 pada Ahad lepas, manakala Aurora pula mara selepas menewaskan Yangon Galacticos dengan keputusan yang sama.

Peminat e-sukan tanah air kini menaruh harapan tinggi agar SRG dapat mengekalkan momentum kemenangan sekali gus mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.

Sumber: BERNAMA

Exit mobile version