
Dua anggota Batalion Malaysia (MALBATT) 850-13 dilaporkan mengalami kecederaan ringan ekoran kesan sampingan daripada satu insiden serangan udara yang berlaku berhampiran Haris, Lubnan pada pagi Khamis. Kejadian berlaku ketika konvoi berkenaan sedang melaksanakan misi logistik rutin.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memaklumkan bahawa insiden tersebut terjadi pada jam 9.25 pagi waktu tempatan, kira-kira satu kilometer di bahagian barat Pangkalan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNP) 6-43 di kawasan Tibnin. Ketika kejadian, konvoi logistik MALBATT 850-13 sedang dalam perjalanan bagi misi ulang bekal rutin menuju ke Tyre.
“Akibat kejadian tersebut, dua anggota terkena serpihan cermin kenderaan dan mengalami kecederaan ringan, manakala dua kenderaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengalami kerosakan material luaran,” kata beliau dalam satu kenyataan.
Mohamed Khaled turut mengesahkan kedua-dua anggota terbabit telah pun menjalani pemeriksaan perubatan dan kini berada dalam keadaan stabil, manakala waris mereka telah dimaklumkan dengan segera.
Susulan letupan itu, Pasukan Tindak Balas Pantas (QRF) MALBATT 850-13 daripada UNP 6-43 telah diaktifkan bersama sokongan pasukan perubatan serta elemen logistik untuk menguruskan kenderaan serta membantu anggota terlibat. Pasukan penyelamat telah melaksanakan penilaian keselamatan di lokasi kejadian sebelum mengatur pergerakan konvoi kembali ke pangkalan dengan selamat.
Sebagai langkah proaktif, MALBATT 850-13 telah memperketat prosedur pergerakan konvoi dan mempertingkatkan pemantauan situasi keselamatan semasa. Koordinasi bersama Pasukan Interim PBB di Lubnan (UNIFIL) turut diperkukuh bagi melaksanakan penilaian risiko yang lebih menyeluruh sebelum sebarang pergerakan operasi diteruskan.
Menurut beliau, Kementerian Pertahanan melalui Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan terus memantau rapat perkembangan di kawasan operasi bagi memastikan tahap kesiapsiagaan kekal tertinggi demi menjamin keselamatan pasukan pengaman yang membawa mandat PBB di Lubnan.
Sumber: Bernama