Dua Lelaki Rompak Kedai Emas di Nilai, Larikan Barang Kemas Bernilai RM60,000

Pihak polis kini sedang giat memburu dua lelaki warga tempatan yang disyaki terlibat dalam satu kejadian rompakan bersenjata di sebuah kedai emas di Bandar Baru Nilai, di sini, malam ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, kedua-dua suspek yang bersenjatakan sepucuk pistol berjaya melarikan barang kemas dianggarkan bernilai RM60,000 dari sebuah premis yang terletak di dalam sebuah pasar raya.

Ketua Polis Daerah Nilai, Supt Johari Yahya, mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai kejadian tersebut.

“Berdasarkan siasatan awal, kedua-dua suspek memakai topi keledar dan menutup muka bagi mengelak dikesan. Mereka tiba di lokasi kejadian menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha Y15 berwarna biru,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Johari, tiada sebarang tembakan dilepaskan semasa kejadian, dan kedua-dua pekerja yang berada di premis tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan. Tiada pelanggan berada di kedai ketika rompakan berlaku.

“Suspek dikesan menggunakan sebuah beg penghantaran berwarna oren berlogo ‘Lalamove’ untuk mengisi barang kemas yang dirompak sebelum melarikan diri,” tambahnya.

Polis kini sedang mempergiatkan usaha untuk mengesan kedua-dua suspek. Kes disiasat mengikut Seksyen 4 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, yang membawa hukuman berat jika sabit kesalahan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian atau suspek diminta untuk tampil menyalurkan maklumat di balai polis berhampiran.

— BERNAMA

Exit mobile version