Elak Rumah Ditenggelami Air! Projek Baharu Kini Perlu Lulus Penilaian Risiko Banjir

KUALA LUMPUR – Setiap projek perumahan baharu di seluruh negara kini wajib melalui penilaian teknikal menyeluruh yang mengambil kira risiko banjir dan keselamatan penduduk sebelum diluluskan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, semua permohonan pembangunan yang dikemukakan melalui One Stop Centre (OSC) perlu mendapat kelulusan daripada agensi teknikal seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi memastikan aspek saliran dan mitigasi banjir diteliti lebih awal.

“Penilaian dibuat berpandukan Pelan Induk Tebatan Banjir dan Laporan Banjir Tahunan bagi memastikan infrastruktur tempatan mampu menampung kesan perubahan iklim yang semakin ketara,” katanya ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat hari ini.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, reka bentuk sistem saliran bagi projek baharu mesti mematuhi Manual Saliran Mesra Alam (MSMA) yang menekankan pendekatan kawalan air hujan secara bersepadu seperti kolam takungan dan sistem mesra alam bagi mengurangkan risiko banjir kilat.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof

Namun, katanya, banyak kawasan perumahan lama yang dibina sebelum penguatkuasaan MSMA tidak mempunyai sistem kawalan banjir mencukupi dan lebih terdedah kepada kejadian hujan lebat luar biasa.

“Penambahbaikan sistem saliran di kawasan lama memerlukan tindakan bersama kerajaan negeri dan PBT bagi menilai serta menaik taraf keupayaan sedia ada,” katanya.

Dalam masa sama, Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) turut bersetuju agar Pelan Induk Saliran Mesra Alam (PISMA) dijadikan panduan semua kerajaan negeri dan PBT dalam merancang pembangunan yang lebih sistematik dan mampan.

Fadillah turut menjelaskan bahawa Program Ramalan dan Amaran Banjir (PRAB) kini memantau 38 lembangan sungai utama di seluruh negara bagi memperkukuh sistem amaran awal banjir di kawasan perumahan berisiko.

Melalui sistem ini, JPS mampu mengeluarkan ramalan banjir seawal tujuh hari dan amaran dua hari sebelum kejadian, sebagai sebahagian daripada National Forecasting and Warning System.

Setakat ini, PRAB memantau 1,798 stesen hidrologi telemetri, 614 sistem amaran banjir, serta 197 kamera pemantauan 24 jam di kawasan hotspot banjir seluruh negara dengan 3,683 lokasi dikenal pasti berisiko tinggi.

Fadillah turut memaklumkan kerajaan sedang meneliti cadangan mewujudkan portal data bersepadu peta risiko banjir bagi setiap projek perumahan, agar pembeli dan pemaju dapat menyemak status kawasan sebelum membuat keputusan pembangunan.

Exit mobile version