EU Cadang Sekatan Perdagangan, Menteri dan Peneroka Haram Israel

Kesatuan Eropah (EU) telah mengemukakan cadangan pakej sekatan menyeluruh terhadap Israel, termasuk menyasarkan menteri Kabinet berhaluan ekstremis, peneroka haram, serta entiti yang terlibat dalam keganasan di Tebing Barat yang diduduki.

Ketua Dasar Luar EU, Kaja Kallas berkata cadangan itu turut merangkumi langkah menggantung sebahagian konsesi perdagangan dengan Israel. Beliau menegaskan semua negara anggota sebulat suara bersetuju bahawa keadaan di Gaza adalah “tidak boleh dipertahankan” dan memberi amaran mengenai “perkembangan berbahaya” di Tebing Barat yang mengancam penyelesaian dua negara.

“Tujuannya bukan untuk menghukum Israel, tetapi untuk memperbaiki keadaan kemanusiaan di Gaza. Peperangan mesti ditamatkan, penderitaan mesti dihentikan, dan semua tebusan perlu dibebaskan,” katanya selepas mesyuarat suruhanjaya itu.

Kallas turut mengecam serangan berterusan tentera Israel ke atas Kota Gaza yang menurutnya hanya memperdalam krisis kemanusiaan. Langkah sekatan itu bagaimanapun masih memerlukan kelulusan rasmi daripada semua negara anggota EU sebelum dapat dikuatkuasakan.

Minggu lalu, Presiden Suruhanjaya Eropah Ursula von der Leyen turut mengumumkan rancangan memperkenalkan langkah keras terhadap Israel, termasuk menggantung sebahagian Perjanjian Persatuan dan menamatkan sokongan dua hala tertentu.

Sejak Oktober 2023, tentera Israel dilaporkan telah membunuh hampir 65,000 rakyat Palestin dalam siri serangan berterusan di Gaza, sementara Tebing Barat berdepan peningkatan penindasan melalui perluasan penempatan haram dan keganasan peneroka.

Sumber: Anadolu Agency

Exit mobile version