
Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) mengesahkan telah memudah cara proses penyerahan 15 jenazah rakyat Palestin ke Semenanjung Gaza pada Khamis, sekali gus melengkapkan fasa terakhir pertukaran di bawah perjanjian gencatan senjata.
Langkah itu dilakukan susulan pemulangan mayat tebusan terakhir Israel yang ditahan di wilayah tersebut, Ran Gvili, kepada pihak berkuasa Israel pada awal minggu ini.
ICRC dalam satu kenyataan rasmi menjelaskan bahawa operasi yang memakan masa berbulan-bulan itu bertujuan menyatukan semula mangsa yang terkorban dengan keluarga mereka selain menyokong pelaksanaan perjanjian yang telah dimeterai.
“Hari ini, ICRC memudah cara kepulangan 15 warga Palestin yang terkorban ke Gaza. Ini menandakan selesainya operasi besar-besaran bagi menyokong pelaksanaan perjanjian gencatan senjata,” kata kenyataan itu.
Berdasarkan terma perjanjian yang berkuat kuasa sejak 10 Oktober lalu, Israel diwajibkan menyerahkan 15 jenazah rakyat Palestin bagi setiap satu mayat warga Israel yang dipulangkan.
Jurucakap Hamas menyatakan bahawa penyerahan Ran Gvili merupakan bukti komitmen kumpulan pejuang Palestin itu terhadap syarat-syarat gencatan senjata yang telah dipersetujui.
Menurut data ICRC, sejak konflik bermula pada Oktober 2023, badan kemanusiaan itu telah menyelia kepulangan 195 tawanan (termasuk 35 yang telah meninggal dunia) serta 3,472 tahanan.
Dalam pada itu, Pengarah Hospital al-Shifa, Mohammed Abu Salmiya mengesahkan kesemua 15 jenazah tersebut telah tiba di fasiliti perubatan itu di Bandar Gaza. Kementerian Kesihatan Gaza turut mengesahkan jumlah keseluruhan jenazah yang diserahkan oleh Israel setakat ini adalah seramai 360 orang.
Walau bagaimanapun, pihak berkuasa Gaza membangkitkan kebimbangan berhubung keadaan fizikal jenazah yang diterima. Dakwa mereka, terdapat kesan penyeksaan, luka terbakar dan tanda-tanda hukuman mati di medan perang pada beberapa mayat.
Kesukaran pengecaman turut dilaporkan kerana pihak Israel didakwa tidak memberikan sebarang data peribadi atau nama mangsa, menjadikan proses pengenalan identiti oleh waris hampir mustahil untuk dilakukan.
Sehingga kini, krisis di Gaza telah mencatatkan angka kematian tragis melebihi 71,000 orang, angka yang kini mula diakui oleh pihak Israel buat pertama kalinya sejak serangan bermula.
— Agensi