Kementerian Kesihatan Gaza terima 45 jenazah rakyat Palestin dari Israel

GAZA – Kementerian Kesihatan Gaza menerima 45 jenazah rakyat Palestin dari Israel melalui Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC), menjadikan jumlah keseluruhan yang dipulangkan sejak Selasa kepada 90, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Penyerahan itu merupakan sebahagian daripada pelaksanaan fasa pertama perjanjian gencatan senjata antara Israel dan Hamas yang berkuat kuasa pada 10 Oktober 2025.

Dalam satu kenyataan pada Rabu, kementerian itu berkata pasukan perubatannya terus mengendalikan jenazah berkenaan mengikut prosedur dan protokol perubatan yang ditetapkan bagi melengkapkan proses pemeriksaan, pendokumentasian serta penyerahan kepada keluarga masing-masing.

Kredit foto Bashar Taleb/AFP

Hamas telah menyerahkan mayat lapan tawanan Israel dalam tempoh dua hari lalu di bawah perjanjian gencatan senjata itu, selepas membebaskan 20 tawanan Israel yang masih hidup pada Isnin sebagai pertukaran untuk hampir 2,000 tahanan Palestin.

Minggu lepas, Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengumumkan bahawa Israel dan Hamas telah bersetuju dengan fasa pertama pelan yang dikemukakannya pada 29 Sept untuk memeterai gencatan senjata di Gaza, membebaskan semua tawanan Israel sebagai pertukaran untuk tahanan Palestin dan memastikan pengunduran tentera Israel secara berperingkat dari seluruh Semenanjung Gaza.

Fasa kedua pelan itu menyeru kepada pembentukan mekanisme tadbir urus baharu di Gaza tanpa penyertaan Hamas, penubuhan pasukan multinasional serta pelucutan senjata Hamas. – BERNAMA

Exit mobile version