Gencatan Senjata Dicabuli: Israel Terus Bedil Gaza, Korban Kini Melepasi 73,000 Jiwa

Pasukan tentera Israel dilaporkan terus melancarkan serangan udara, pengeboman, dan merobohkan bangunan di seluruh Semenanjung Gaza, sekali gus mencabuli perjanjian gencatan senjata yang telah berkuat kuasa sejak Oktober 2025.

Rentetan keganasan yang semakin memuncak ini, para pegawai Palestin memberi amaran bahawa tindakan rejim Zionis berisiko mencetuskan krisis kemanusiaan yang lebih luas dan tidak terkawal.

Menurut sumber perubatan yang dipetik oleh Anadolu Agency, serangan dron terbaharu Israel yang menyasarkan seorang pemuda berbasikal di kawasan perumahan Zeitoun, tenggara Bandar Gaza, telah mengorbankan Mohammad Najib Ashour serta mencederakan beberapa yang lain. Kesemua mangsa telah dikejarkan ke Hospital Al-Shifa dan Hospital Al-Ahli Arab.

Selain itu, pasukan penyelamat turut menemui mayat dua lagi mangsa, Bilal Hussein Abu Rabia dan Hamza Imad Hamdouna, berhampiran pos kawalan tentera di Beit Lahia, utara Gaza, selepas dilaporkan hilang beberapa hari lalu.

Kementerian Kesihatan Gaza mengesahkan bahawa seramai tujuh rakyat Palestin terbunuh, manakala sembilan mayat lagi ditemui dalam tempoh 48 jam yang lalu dengan 16 individu dilaporkan cedera.

Amaran ‘Ledakan Konflik’

Perkembangan mutakhir ini berlaku beberapa jam selepas Presiden Palestin mengeluarkan amaran keras bahawa “dasar pembunuhan harian” oleh tentera Israel di Gaza, bersama kekejaman pendatang haram di Tebing Barat, boleh mencetuskan “ledakan berskala besar” yang sukar disekat.

Selain serangan udara, unit artileri Israel turut membedil wilayah Al-Salatin di barat Beit Lahia yang disertai dengan tembakan bertubi-tubi daripada jentera ketenteraan mereka.

Perobohan Bangunan Guna Taktik Luas Kawalan

Saksi mata melaporkan tentera Israel turut merobohkan premis dan kemudahan milik penduduk Palestin di timur Bani Suheila, berhampiran Khan Younis. Tindakan itu mencetuskan letupan besar, namun tiada sebarang kecederaan dilaporkan setakat ini.

Sejak gencatan senjata bermula pada 10 Oktober 2025, Israel dilaporkan terus memperluas kawasan pendudukannya sehingga menguasai kira-kira 70 peratus daripada keseluruhan wilayah Gaza. Situasi itu menyebabkan rakyat Palestin kini terhimpit dan terpaksa berlindung di kawasan enklaf yang berbaki kurang daripada 30 peratus.

Sejak kempen ketenteraan berskala besar dilancarkan pada 8 Oktober 2023, serangan berterusan Israel telah memusnahkan hampir 90 peratus infrastruktur awam di Gaza serta meragut lebih 73,000 nyawa rakyat Palestin. – AG ENSI

Exit mobile version