DuniaKemanusiaan
Hilangnya Pemimpin Kemanusiaan Dunia
Tugas Emir dipangku Putera Mahkota Kuwait Sheikh Nawaf Al-Ahmad
KUWAIT : Disifatkan seorang yang bermurah hati dan sentiasa menyokong misi dan isu-isu kemanusiaan, Emir Kuwait Sheikh Sabah Al-Ahmad Al-Jaber Al-Sabah meninggal dunia pada usianya 91 tahun.
Kemangkatan beliau diumumkan dalam siaran langsung stesen televisyen kebangsaan pada semalam, diiringi bacaan ayat suci al Quran.
Almarhum Sheikh Sabah, sebelum ini dilaporkan berlepas ke Amerika Syarikat pada Julai lalu untuk menjalani rawatan lanjut satu pembedahan ke atas dirinya baru-baru ini.
Menurut laporan npr.org, berita pemergian Emir Kuwait disampaikan oleh Menteri Amiri Diwan Sheikh Ali Jarrah Al-Sabah.
Ketika mengumumkan berita duka itu, tangan Sheikh Jabar dilihat berketar-ketar menahan rasa, dengan menyatakan `Emir Kuwait telah pulang kepada Penciptanya’.
Bagaimanapun punca kemangkatan Almarhum Emir Al Sabah tidak dijelaskan.
Lapor Agensi Berita Kuwait, KUNA Almarhum dimasukkan ke hospital pada 18 Julai lalu untuk pemeriksaan dan menjalani pembedahan sehari kemudian.
Almarhum amat terkenal dengan sokongannya terhadap isu-isu kemanusiaan.
Beliau pernah digelar, `Pemimpin Kemanusiaan Dunia’, seperti diberikan oleh kemanusiaan dunia, bekas presiden Amerika Syrikat Jimmy Carter, setelah melihat kecenderungan Allahyarham dalam membantu negara yang mengalami bencana.
Almarhum juga menjadi penggerak dalam usaha keamanan serta mengambil berat dalam kemajuan bidang kesihatan dunia.
Seorang pemimpin yang tuntas dalam isu kemanusiaan, itu pula dizahirkan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu PBB, Ban Ki Moon, yang sering ke depan dalam menggerakkan bantuan kemanusiaan.
Pada tahun 2013 dan 2014, Kuwait sering menjadi tuan rumah persidangan mengenai kemanusiaan.
Malah pada awal krisis kemanusiaan membadai Syria, Kuwait antara negara terawal membantu, juga merupakan penyumbang dana terbesar untuk Syria sejumlah ASD$300 juta.
Prihatin beliau bukan sahaja ditumpukan kepada Negara timur Tengah seperti di Yemen, Turki, Iraq, tetapi juga di Chad, Ethopia, Kenya, Somalia dan Sudan. Pendek kata, tercetus sahaja bencana di sesuatu Negara beliau pasti tidak akan membiarkan mangsa menderita sendirian.
Jiwa kemanusiaan yang menebal pada Almarhum juga membawa baginda layak menerima Anugerah Kemanusiaan PBB pada tahun 2014.
Pada tahun 2017 Almarhum menyatakan kesungguhan sokongannya terhadap rakyat Syria dengan mengadakan tiga persidangan kemanusiaan di Kuwait untuk menyeru masyarakat global membantu rakyat Syria.
Maka tidak salahlah, pelbagai penghargaan yang diberikan kepada beliau yang menampilkan peribadi kemanusiaan Almarhum termasuk yang terbaru baru-baru ini, iaitu ‘Legion of Merit’Â daripada Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.
Duta Kuwait ke Malaysia Dr Hamad Burhamah berkata Allahyarham juga mempunyai hubungan baik dengan Malaysia, di peringkat kepemimpinan mahu pun rakyat.
Malaysia turut berduka cita dan takziah daripada kerajaan Malaysia disampaikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin atas kemangkatan baginda.
Dalam ciapan di Twitter beliau, Perdana Menteri mendoakan semoga Allah SWT menempatkan Almarhum bersama orang-orang beriman.
Ucapan takziah juga dizahirkan Raja Jordan Raja Abdullah dalam ciapan di twitter beliau.
Almarhum Sheikh Sabah berkhidmat sebagai Menteri Luar Kuwait selama empat dekad sebelum ditabal menjadi Emir Kuwait pada tahun 2006.
Buat masa ini, sebahagian tugas Emir dipangku oleh adinda beliau Putera Mahkota Kuwait Sheikh Nawaf Al-Ahmad Al-Jaber Al-Sabah, 83 tahun.
Almarhum Sheikh Sabah tidak pernah berkahwin semula selepas kemangkatan isterinya, Sheikha Fattouh Al-Salman Al-Hamoud Baginda pada tahun 90-an.
Almarhum meninggalkan dua orang anak, manakala anak perempuannya meninggal dunia pada tahun 2002 kerana kanser.
Kuwait mengumumkan negara akan berkabung selama 40 hari dan cuti tiga hari bermula Selasa (29 Sept) lapor KUNA.
Semoga roh Almarhum dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang- orang yang beriman.
Al-Fatihah.