Hujan lebat runtuhkan sebahagian tembok pemisah Israel di Tebing Barat yang diduduki

Hujan lebat di selatan Tebing Barat mengakibatkan sebahagian tembok pemisah yang dibina Israel runtuh pada Selasa, menurut saksi di lokasi kejadian. Banjir kilat di kawasan selatan Hebron menyebabkan tembok konkrit itu pecah, dengan rakaman video menunjukkan kerosakan besar pada struktur yang selama ini memisahkan wilayah Palestin yang diduduki daripada Israel.

Penduduk setempat memberitahu Anadolu bahawa hujan deras yang turun dalam tempoh singkat mencetuskan aliran air deras yang menghentam dinding berkenaan sehingga runtuh. Pembinaan tembok pemisah itu digerakkan Israel sejak 2002, namun Mahkamah Keadilan Antarabangsa pada 2004 telah mengeluarkan pendapat nasihat bahawa struktur tersebut menyalahi undang-undang.

Hujan lebat yang sama turut mencetuskan tanah runtuh di jalan utama barat Ramallah, mengganggu aliran trafik di kawasan tengah Tebing Barat. Wartawan Anadolu melaporkan beberapa kenderaan rosak akibat banjir, namun tiada kecederaan dilaporkan.

Ahli meteorologi Palestin, Qussai Halaika, berkata wilayah tersebut menerima jumlah hujan yang tinggi dalam masa beberapa jam. Bahagian barat Baitulmaqdis, Betlehem dan Hebron mencatatkan hujan paling ketara, manakala kawasan timur mengalami penurunan jumlah hujan.

Wilayah Palestin kini berdepan cuaca tidak stabil dengan amaran banjir kilat di kawasan rendah serta risiko kerosakan lanjut pada jalan raya akibat tanah runtuh.

Sumber: Anadolu Agency

Exit mobile version