
Ibu kepada Hind Rajab, kanak-kanak perempuan Palestin berusia enam tahun yang terbunuh di Gaza, berharap tayangan filem mengenai detik-detik terakhir anaknya di Festival Filem Venice dapat membuka mata dunia dan menghentikan pembunuhan beramai-ramai oleh Israel.
Filem bertajuk The Voice of Hind Rajab, arahan pengarah Tunisia, Kaouther Ben Hania, akan ditayangkan pada Rabu di festival berprestij itu. Ia memaparkan rakaman audio sebenar panggilan kecemasan Hind kepada Bulan Sabit Merah Palestin ketika terperangkap dalam sebuah kereta yang dihujani tembakan tentera Israel pada 29 Januari 2024.
“Saya berharap filem ini akan membantu menghentikan perang yang merosakkan ini dan menyelamatkan kanak-kanak Gaza yang lain,” kata ibunya, Wissam Hamada, kepada AFP melalui telefon dari Gaza.
Menurut laporan, kereta yang dinaiki Hind bersama keluarganya ditembusi lebih 300 peluru oleh tentera Israel. Mayat Hind ditemui beberapa hari kemudian bersama enam ahli keluarga dan dua anggota penyelamat Bulan Sabit Merah yang cuba mencarinya.
Pengarah filem itu, Ben Hania, berkata kisah Hind amat menyentuh hati sehingga beliau merasakan perlu menceritakannya melalui medium seni. “Saya bercakap dengan ibunya, dengan mereka yang berada di hujung panggilan itu. Saya mendengar, saya menangis, lalu saya menulis,” ujarnya dalam kenyataan kepada Festival Filem Venice.
Kematiannya pada awal tahun lalu mencetuskan kemarahan dan gesaan antarabangsa supaya siasatan bebas dijalankan. Namun, Israel sehingga kini tidak pernah mengumumkan sebarang siasatan rasmi berhubung kes tersebut.
Bagi ibunya yang berusia 29 tahun, tragedi Hind hanyalah sebahagian daripada penderitaan lebih besar rakyat Gaza. “Seluruh dunia telah meninggalkan kami untuk mati, kelaparan, hidup dalam ketakutan dan dipindahkan secara paksa tanpa melakukan apa-apa. Ia adalah pengkhianatan besar,” katanya.
Filem The Voice of Hind Rajab merupakan antara 21 filem utama yang dipertandingkan di Festival Filem Venice tahun ini.