
Ireland menzahirkan kebimbangan mendalam berhubung bencana banjir dahsyat yang melanda Gaza dan menggesa pihak Israel menghentikan sekatan bantuan kemanusiaan secara sengaja yang disifatkannya sebagai tindakan “tercela dan tidak boleh diterima”.
Kecaman keras itu disuarakan oleh Menteri Luar Ireland, Helen McEntee, menerusi satu kenyataan di platform X. Beliau menegaskan bahawa rakyat Palestin yang sudah sekian lama menanggung penderitaan teruk kini berdepan kemusnahan lebih parah selepas hujan lebat memusnahkan khemah-khemah perlindungan sementara dan meragut nyawa penduduk, termasuk kanak-kanak kecil.
Memetik laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), McEntee menggariskan bahawa banjir tersebut telah menjejaskan lebih 26,000 isi rumah serta merosakkan dan memusnahkan ribuan tempat perlindungan pelarian.
“Ireland berdiri teguh dalam solidariti bersama rakyat Palestin pada masa yang sangat sukar ini,” kata McEntee sambil mendesak agar bantuan makanan dan bekalan menyelamatkan nyawa disalurkan secara serta-merta tanpa sebarang hambatan.
Beliau turut menekankan bahawa penggunaan khemah sementara bukan lagi penyelesaian jangka panjang dan struktur perlindungan peralihan yang lebih tahan lama amat diperlukan pada peringkat krisis ini. McEntee berikrar akan membawa isu sekatan dan bencana banjir Gaza ini ke peringkat perbincangan bersama rakan sejawat Kesatuan Eropah (EU) menjelang mesyuarat Komuniti Politik Eropah di Dublin serta Majlis Hal Ehwal Luar Negeri.
Sumber Maklumat: Anadolu Agency (AA)