Letupan Kilang Keluli di Barat Türkiye: 16 Maut, 13 Cedera

Sekurang-kurangnya 16 orang terbunuh manakala 13 lagi cedera, termasuk dua yang kritikal, selepas satu letupan besar melanda sebuah kilang keluli di daerah Aliaga, wilayah Izmir, barat Türkiye pada Isnin.

Presiden Türkiye, Recep Tayyip Erdogan, mengesahkan insiden berkenaan selepas mesyuarat Kabinet di Ankara dan menyatakan bahawa siasatan menyeluruh dari sudut kehakiman dan pentadbiran telah dilancarkan bagi mengenalpasti punca kejadian serta mana-mana pihak yang bertanggungjawab atas sebarang kecuaian.

Gabenor Izmir, Suleyman Elban, memaklumkan kejadian berlaku kira-kira jam 11.46 pagi waktu tempatan di Loji Besi dan Keluli HABAS semasa kerja-kerja penyelenggaraan dan penggantian relau dijalankan. Keruntuhan sebuah kren siling telah menyebabkan bahan runtuhan menghempas relau arka elektrik lalu merosakkan saluran gas asli hingga mencetuskan letupan kuat.

Semasa kejadian berlaku, dianggarkan sekitar 200 orang pekerja berada di dalam kemudahan tersebut. Beberapa menteri Kabinet termasuk Menteri Buruh dan Keselamatan Sosial, Menteri Tenaga dan Sumber Asli, serta Menteri Kesihatan dilaporkan bergegas ke lokasi kejadian bagi memantau situasi dan operasi menyelamat.

Sumber Maklumat: Anadolu Agency (AA)

↑
Exit mobile version