Israel rancang bina hampir 2,000 unit penempatan haram baharu di Tebing Barat

Israel merancang untuk meluluskan pembinaan hampir 2,000 unit penempatan haram baharu di Tebing Barat yang diduduki, menurut kenyataan Menteri Kewangan berhaluan kanan, Bezalel Smotrich.

Smotrich berkata Majlis Perancangan Tinggi akan meneliti dan meluluskan 1,973 unit penempatan baharu pada sesi akan datang, walaupun tidak menyatakan tarikh mesyuarat tersebut. Pengumuman itu dibuat sehari selepas Israel meluluskan pembinaan 1,300 rumah peneroka di blok penempatan Gush Etzion di selatan Baitulmaqdis Timur yang diduduki.

Menurutnya, hampir 30,000 unit penempatan telah diluluskan sepanjang tahun ini, yang disifatkannya sebagai “pencapaian belum pernah berlaku sebelum ini” bagi kerajaan pimpinan Benjamin Netanyahu.

Kumpulan Palestin, Hamas, mengecam langkah tersebut sebagai “peningkatan berbahaya dalam dasar Yahudiisasi dan peluasan penempatan yang menyasarkan tanah Palestin jauh di dalam Tebing Barat”.

Dalam kenyataan rasmi, Hamas menegaskan rancangan itu sebagai pelanggaran jelas terhadap undang-undang antarabangsa serta resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang menjenayahkan aktiviti pembinaan penempatan di wilayah Palestin yang diduduki.

Akhbar harian Israel Yedioth Ahronoth melaporkan bahawa sejak Netanyahu kembali berkuasa pada akhir 2022, kerajaan Israel telah merancang pembinaan kira-kira 48,000 unit penempatan baharu di Tebing Barat, dengan purata 17,000 unit setahun.

Pada Ogos lalu, kerajaan turut memberikan kelulusan akhir kepada projek “E1” yang melibatkan 3,400 unit rumah berhampiran penempatan Ma’ale Adumim. Kumpulan hak asasi Israel, Peace Now, menyifatkan rancangan tersebut sebagai “tamparan maut” kepada penyelesaian dua negara, kerana ia akan memisahkan utara dan selatan Tebing Barat serta mengasingkan Baitulmaqdis Timur daripada wilayah Palestin.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berulang kali menegaskan bahawa semua penempatan Israel di wilayah Palestin yang diduduki adalah haram di bawah undang-undang antarabangsa, selain memberi amaran bahawa tindakan itu menjejaskan prospek keamanan dan penyelesaian dua negara.

Rakyat Palestin pula menegaskan bahawa Baitulmaqdis Timur kekal sebagai ibu negara masa depan mereka, berdasarkan resolusi antarabangsa yang menolak pendudukan Israel pada 1967 dan pengilhakan bandar itu pada 1980.

Sumber: TRT World & Agensi

Exit mobile version