Israel meluluskan 19 penempatan haram tambahan di Tebing Barat yang diduduki

Kabinet keselamatan Israel meluluskan penubuhan 19 penempatan haram baharu di Tebing Barat yang diduduki, menjadikan jumlah keseluruhan penempatan yang diluluskan sejak tiga tahun lalu meningkat kepada 69. Keputusan itu disahkan melalui satu kenyataan rasmi pada Ahad oleh pejabat Menteri Kewangan Israel, Bezalel Smotrich, tanpa menyatakan tarikh tepat kelulusan dibuat.

Menurut kenyataan berkenaan, cadangan untuk mengisytiharkan dan memformalkan 19 penempatan baharu di wilayah yang dirujuk Israel sebagai Judea dan Samaria telah mendapat lampu hijau kabinet. Smotrich dalam kenyataannya menegaskan bahawa langkah tersebut bertujuan menghalang penubuhan sebuah negara Palestin pada masa hadapan, sambil meneruskan pembangunan penempatan sebagai sebahagian daripada rancangan jangka panjang Israel di wilayah itu.

Smotrich turut menyatakan bahawa Israel akan terus membangun dan menetap di kawasan yang dianggap sebagai tanah warisan nenek moyang mereka, dengan alasan keselamatan dan kedaulatan. Kenyataan itu sekali lagi mencerminkan pendirian terbuka kerajaan Israel untuk memperluas penempatan walaupun berdepan bantahan antarabangsa.

Terdahulu, Smotrich juga meluluskan rancangan pembinaan penempatan haram Yahudi baharu yang dikenali sebagai Mishmar Yehuda, melibatkan 3,600 unit rumah di atas tanah seluas 3,380 dunam di Baitulmaqdis Timur yang diduduki. Menurut laporan media Israel, penempatan itu digambarkan sebagai pangkalan strategik bagi memperkukuh kawalan Israel dari arah timur bandar berkenaan.

Walaupun penempatan baharu tersebut jelas melanggar undang undang antarabangsa, Smotrich berhujah bahawa projek berkenaan akan menyediakan puluhan ribu unit perumahan dan mengukuhkan perimeter keselamatan, selain membantu menghalang penubuhan negara Palestin di Tebing Barat yang diduduki.

Dalam perkembangan berkaitan, kabinet Israel turut meluluskan satu lagi keputusan penubuhan 19 penempatan haram pada 12 Disember lalu, yang dilihat sebagai langkah mempercepatkan proses pengilhakan. Kumpulan pemantau Israel, Peace Now, menganggarkan kira kira 500,000 peneroka haram Israel kini tinggal di penempatan di seluruh Tebing Barat yang diduduki, manakala sekitar 250,000 lagi tinggal di penempatan yang dibina di atas tanah di Baitulmaqdis Timur.

Sumber: TRT World dan agensi berita antarabangsa

Exit mobile version