Itali Sokong Sekatan Terhadap Peneroka Haram Israel Dan Menteri Ben-Gvir, Gesa EU Nilai Semula Hubungan

Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni, mengesahkan bahawa Itali menyokong pelaksanaan sekatan terhadap peneroka haram Israel serta Menteri Keselamatan Negara negara itu, Itamar Ben-Gvir. Pada masa yang sama, beliau turut menyeru agar satu perbincangan yang lebih luas dilakukan mengenai hala tuju hubungan antara Kesatuan Eropah (EU) dan Israel.

Kenyataan tersebut disampaikan oleh Meloni di parlimen pada Khamis menjelang mesyuarat Majlis Eropah. Beliau menegaskan bahawa isu ini perlu dilihat melampaui polemik mudah yang hanya bertujuan mencari publisiti segera.

“Mengenai perkara ini, saya ingin, buat kali ini, perbincangan di sini yang melangkaui penekanan polemik mudah, yang pastinya menjana pulangan segera dari segi keterlihatan. Ia tidak mencerminkan kepentingan strategik isu ini untuk Itali,” jelas Meloni. Beliau menambah bahawa Majlis Eropah sewajarnya mempertimbangkan semula hala tuju hubungan diplomatik antara EU dan Israel.

Tindakan Tegas Terhadap Ekstremisme

Meloni secara terbuka menyatakan sokongan padu Rom terhadap sekatan yang menyasarkan peneroka Israel. “Ya kepada sekatan terhadap peneroka,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa langkah-langkah tegas perlu diambil terhadap peneroka ganas yang terbukti menghasut kebencian dan menyebarkan fahaman ekstremisme di wilayah bergolak itu. Pendirian terbaharu Itali ini menyusul selepas pengumuman sebelum ini yang menyatakan negara berkenaan akan membekukan pakatan pertahanan mereka dengan Israel.

Netanyahu Berdepan Dakwaan Jenayah Perang

Ketegangan diplomatik ini berlaku ketika Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dikehendaki oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) sejak tahun 2024 atas tuduhan melakukan jenayah perang serta jenayah terhadap kemanusiaan ke atas rakyat Palestin di Gaza.

Konflik dan perang genosid yang berlarutan sejak Oktober 2023 itu telah mengorbankan hampir 73,000 nyawa rakyat Palestin dan menyebabkan lebih 173,000 yang lain cedera. Selain tindakan daripada ICC, Israel kini turut berdepan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) susulan heretan undang-undang yang dibawa oleh Afrika Selatan dengan sokongan daripada beberapa buah negara lain.

(Sumber: TRT World / AA)

Exit mobile version