
Menteri Luar Itali, Antonio Tajani, mengutuk keras kenyataan biadab dan “tidak boleh diterima” yang dikeluarkan oleh Menteri Keselamatan Negara Israel, Itamar Ben-Gvir. Kenyataan provokatif itu dibuat selepas Ben-Gvir mengetahui bahawa beliau kini sedang disiasat oleh pihak berkuasa Rom berhubung dakwaan layanan buruk ke atas aktivis kemanusiaan yang ditahan.
Ben-Gvir mencetuskan kemarahan diplomasi selepas memuat naik kenyataan di media sosial yang mengejek geografi Itali—negara yang terkenal dengan jolokan “Negara But” disebabkan bentuk petanya—dengan melabel Itali sebagai “tanah selipar jepun”.
Dalam satu kenyataan berasingan, menteri haluan kanan Israel itu dengan angkuh menegaskan beliau tidak akan melarikan diri daripada sebarang siasatan dan akan terus mempertahankan tindakan pasukan keselamatannya.
Membelasah komen tersebut, Tajani menegaskan bahawa kata-kata sedemikian adalah sangat tidak layak bagi seorang menteri kabinet.
“Itali adalah rakan sekutu Israel yang sentiasa mempertahankan prinsip kebebasan dan demokrasi. Kenyataan Ben-Gvir itu dengan jelas menunjukkan tahap kedudukan moral sebenar lelaki ini,” kata Tajani.
Siasatan Kes Penyeksaan Dan Penculikan
Pendakwa raya Rom sebelum ini telah melancarkan siasatan rasmi terhadap Ben-Gvir susulan laporan agensi berita Itali, ANSA, berhubung penahanan warga Itali semasa operasi ketenteraan Israel memintas Flotilla Global Sumud pada Mei lalu. Siasatan yang telah berjalan selama beberapa minggu ini turut meneliti dakwaan kes penyeksaan dan penculikan yang dilakukan oleh pihak berkuasa Israel semasa menaiki kapal bantuan berkenaan.
Siasatan ke atas Ben-Gvir turut dicetuskan oleh sebuah video provokasi yang dimuat naik oleh beliau sendiri sejurus selepas penahanan kumpulan aktivis berkenaan. Walau bagaimanapun, Perkhidmatan Penjara Israel bertindak menafikan sebarang dakwaan penderaan fizikal sepanjang tempoh tahanan.
EU Pertimbang Sekatan Ekonomi
Isu ini kini mendapat perhatian meluas di peringkat Eropah. Itali muncul sebagai negara kedua di benua itu yang membuka kertas siasatan rasmi terhadap layanan Israel ke atas aktivis kemanusiaan, selepas Perancis melancarkan langkah serupa minggu lalu atas dakwaan jenayah perang dan penyeksaan.
Susulan kemarahan global yang semakin memuncak terhadap layanan kejam ke atas aktivis serta peningkatan keganasan di Tebing Barat yang diduduki, Kesatuan Eropah (EU) kini dilaporkan sedang mempertimbangkan secara serius untuk mengenakan sekatan ekonomi terus ke atas Ben-Gvir. Keputusan rasmi berhubung sekatan tersebut dijangka akan diumumkan pada Isnin depan.
(Sumber: Agensi Anadolu)