Kami tidur di bawah tanah untuk kekal di tanah kami: Kehidupan dalam gua di Masafer Yatta

Di kawasan perbukitan selatan Hebron, di wilayah Palestin yang dikenali sebagai Masafer Yatta, kehidupan manusia kini berlangsung di bawah tanah. Bukan kerana pilihan, tetapi kerana paksaan. Ketika jentolak tentera Israel memusnahkan rumah-rumah dan peneroka haram memperluas penempatan mereka, keluarga Palestin yang enggan meninggalkan tanah warisan kini hidup di dalam gua—tempat mereka memasak, tidur, dan bersembunyi dari serangan.

Farida*, seorang ibu kepada enam anak, bangun setiap pagi dalam kegelapan separuh gua di Khallet al-Daba’a, sebuah dusun kecil Badwi. Di sinilah dia memasak, mencuci pakaian, berdoa, dan tidur di lantai batu bersama keluarganya. “Sebelum ini, hidup kami indah,” katanya kepada TRT World, mengingati rumah mereka di atas bukit sebelum tentera Israel merobohkannya sebulan lalu. “Kami ada elektrik, air, bilik mandi. Kami tidur dengan selamat. Sekarang, kami perlu pergi ke lembah untuk ke tandas, jauh dari rumah dan tanpa privasi.”

Gua kecil itu menjadi tempat perlindungan terakhir mereka. Bau asap dan tanah basah memenuhi udara. Sebidang kain koyak dijadikan pintu, sementara cahaya matahari yang samar menyelinap masuk melalui celah batu kapur, menampakkan tilam nipis dan periuk masakan hitam. Tiada bekalan air, tiada elektrik, tiada ketenangan. “Kami bawa air sendiri. Rasanya seperti kembali ke masa 25 tahun dulu,” ujar Farida.

Suaminya, Rafiq*, masih menanggung lebam akibat dipukul tentera semasa rumah mereka dirobohkan. “Dia selalu berjaga malam untuk melindungi anak-anak,” kata Farida. “Tapi walaupun ada yang berjaga, saya tetap tak boleh tidur. Di sini, keselamatan sudah tiada.”

Kehidupan dalam gua bagi keluarga seperti Farida menjadi simbol keazaman rakyat Palestin mempertahankan tanah mereka, walau apa pun risikonya. Masafer Yatta telah ditandakan oleh Israel sejak 1980-an sebagai kawasan latihan tentera, dikenali sebagai Zon Tembak 918. Pada 2022, Mahkamah Agung Israel membenarkan pengusiran beramai-ramai terhadap penduduk Palestin di situ—suatu keputusan yang kini dijadikan alasan mempercepatkan perobohan dan pengusiran.

Lebih 1,200 penduduk kini berdepan kehilangan tempat tinggal. Pada 28 Oktober lalu, tentera Israel menyerbu kampung Khirbet Umm al-Kheir dan mengeluarkan perintah perobohan terakhir bagi 14 rumah, sebuah pusat komuniti, serta beberapa struktur pertanian. Keesokan harinya, 30 lagi notis perobohan dikeluarkan di kawasan Issawiya dan Za’im berhampiran Baitulmaqdis, termasuk terhadap komuniti Badwi al-Sa’idi.

Menurut Suruhanjaya Penentangan Tembok dan Penjajahan Palestin, lebih 1,000 struktur di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur telah dirobohkan sejak Oktober 2023, mengusir ribuan orang. Tindakan ini berlaku walaupun Mahkamah Keadilan Antarabangsa pada Julai 2024 mengisytiharkan kehadiran Israel di wilayah Palestin sebagai tidak sah di sisi undang-undang antarabangsa.

Di Khallet al-Daba’a, Dina*, 39 tahun, masih bertahan bersama keluarganya walaupun hampir seluruh kampung kini tinggal runtuhan. “Kami dulu panggil tempat ini ‘pengantin Masafer’. Kami minum kopi pagi-pagi, bakar roti dengan jiran, dan sambut doktor yang datang,” katanya. “Sekarang semuanya hilang—hijau, harapan, kebebasan.”

Dina dan suaminya, Hassan*, berikrar untuk tidak meninggalkan tanah itu. “Kalau kami pergi, kami hilang diri kami sendiri. Kami sanggup mati daripada tinggalkan tanah ini,” kata mereka. Walau hidup tanpa pendapatan dan keselamatan, mereka tetap berpegang pada maruah.

Namun, bagi Farida, pengalaman paling gelap datang apabila peneroka haram menyerang keluarga mereka pada waktu malam. “Enam orang datang menyerang. Mereka pukul saya di kepala hingga pengsan. Tangan saya berdarah dan patah ketika cuba melindungi anak perempuan saya,” katanya sambil menunjukkan kesan kecederaan. Bayinya yang baru dua bulan disembur gas pemedih mata hingga berbuih mulut dan hampir lemas.

Anaknya, Yusuf*, 14 tahun, cedera parah di kepala dan dimasukkan ke unit rawatan rapi selama lima hari. “Dia sempat mengucap dua kalimah syahadah,” ujar Farida perlahan. “Mereka datang untuk membunuh kami. Tapi kami takkan mati dua kali.”

Kisah Farida dan Dina mencerminkan keberanian wanita Palestin yang enggan tunduk kepada penindasan. “Kalau dunia mahu tahu tentang wanita Palestin,” kata Dina, “beritahu mereka kami diperbuat daripada besi. Kami kuat, tak boleh dipatahkan. Kami tanggung semuanya, tapi tetap berdiri tegak.”

*Nama-nama telah ditukar bagi melindungi keselamatan mereka.

Sumber: TRT World

Exit mobile version