
NEW YORK : Seorang kanak-kanak sembilan tahun mengambil bahagian dalam ujian farmaseutikal secara sukarela untuk menguji keselamatan dan keberkesanan vaksin Moderna kepada penerima berumur enam hingga 12 tahun.
Menurut laporan akhbar New York Post, Walker Clary yang berasal dari bandar Syracuse, New York berkata, dia membuat keputusan untuk menyertai ujian tersebut kerana ingin menyelamatkan kanak-kanak lain.
“Ia amat mengujakan kerana saya menjadi salah seorang yang terawal bagi kumpulan umur ini untuk menerima suntikan vaksin,” katanya.
Clary tidak merasa ragu-ragu untuk menerima suntikan tersebut selepas melihat ibu, bapa, abang dan kakaknya menerima suntikan vaksinasi.
Clary menerima suntikan tersebut di sebuah hospital pada Rabu lepas dan dijangka menerima suntikan kedua kurang dari sebulan.
“Saya tidak risau langsung untuk menerima suntikan. Saya tidak mahu dijangkiti Covid-19,” ujarnya.
Buat masa ini, vaksin berkenaan hanya diberikan kepada individu berumur 18 tahun dan ke atas.
Ujian yang disertai Clary adalah sebahagian daripada kajian KidCOVE yang dijalankan Moderna.
Menurut syarikat pengeluar vaksin tersebut, Clary merupakan salah seorang daripada 7,000 individu mengambil bahagian dalam ujian tersebut dan pihak keluarga ditawarkan pampasan untuk mengambil bahagian.
-AGENSI
Oleh Hafeez Anuar