Kanak-kanak Rusia dua tahun maut selepas disengat ubur-ubur di Langkawi

Seorang kanak-kanak lelaki warga Rusia berusia dua tahun disahkan meninggal dunia selepas empat hari bertarung nyawa akibat disengat ubur-ubur kotak ketika mandi di Pantai Chenang, Langkawi, Sabtu lalu. Mangsa, Vladimir, menerima rawatan rapi sejak dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) sebelum disahkan meninggal dunia pada 9.46 pagi tadi.

Bapanya, Nikita Iakubanets, 32, berkata anaknya mengalami kesan racun yang menyerang jantung dan kecederaan teruk pada bahagian kaki. Menurutnya, doktor memaklumkan kecederaan itu konsisten dengan sengatan ubur-ubur kotak, spesies yang diketahui sangat berbisa.

Nikita dan isterinya Olga, 32, yang masih dalam keadaan trauma, berkata pasukan perubatan di HSB telah melakukan segala usaha untuk menyelamatkan anak mereka dan menzahirkan penghargaan terhadap dedikasi petugas kesihatan. Mereka sekeluarga tiba di Malaysia pada 14 November dan merupakan kali pertama berkunjung ke Langkawi.

Mengimbas detik kejadian, Nikita berkata mereka sedang mandi di pantai ketika Vladimir tiba-tiba menjerit kesakitan. Olga segera mengangkat anak mereka ke darat dan cuba memberi bantuan pernafasan sebelum bergegas ke klinik berhampiran. Dari situ, Vladimir dirujuk ke Hospital Sultanah Maliha sebelum dipindahkan ke HSB untuk rawatan lanjut.

Pasangan itu kini berhasrat membawa pulang abu anak mereka ke Khabarovsk, Rusia. Olga menyifatkan Vladimir sebagai wira kecil mereka dan berkata setiap hari mereka tidak pernah gagal memberitahunya bahawa mereka menyayanginya.

Insiden tersebut turut mengulangi kebimbangan keselamatan di kawasan pantai popular itu, memandangkan beberapa laporan sebelum ini melibatkan sengatan ubur-ubur di perairan Langkawi, terutama ketika perubahan musim.

Sumber: Bernama

Exit mobile version