Kejohanan Asia B-23: Kuartet 4x100m Negara Raih Gangsa, Armin Lebur Rekod Kebangsaan

Kuartet 4×100 meter (m) lelaki negara memamerkan larian bertenaga untuk meraih pingat gangsa pada Kejohanan Olahraga Asia Bawah-23 (B-23) 2026 yang berlangsung di Ordos, China, hari ini.

Menurut kenyataan Olahraga Malaysia, gandingan mantap negara yang diwakili oleh Muhammad Azeem Mohd Fahmi, Reeve Kua Man Hong, Pengiran Aidil Auf Hajam dan Mohamad Armin Zahryl Abdul Latif berjaya mencatatkan masa 39.20 saat (s).

Pingat emas acara berkenaan dimenangi oleh pasukan tuan rumah, China, yang melintasi garisan penamat dengan catatan masa 38.38s, manakala kuartet Hong Kong pula membawa pulang pingat perak selepas merekodkan masa 38.88s.

Sementara itu, dalam aksi berasingan, pelari berpagar muda negara, Mohamad Armin Zahryl, terus mencuri tumpuan apabila sekali lagi berjaya memecahkan rekod kebangsaan miliknya sendiri dalam acara 110m lari berpagar.

Selepas mempamerkan prestasi cemerlang dengan catatan 13.63s pada aksi saringan semalam, beliau memperkemaskan lariannya pada aksi final hari ini dengan mencatat masa lebih pantas, iaitu 13.58s. Walau bagaimanapun, catatan masa terbaharu itu meletakkan beliau di tempat keempat keseluruhan.

— BERNAMA

Exit mobile version