Kejohanan Skuasy Remaja Antarabangsa Kuala Lumpur 2025 tarik lebih 1,000 peserta

Kejohanan Skuasy Remaja Antarabangsa Kuala Lumpur 2025 dijangka menyaksikan sebanyak 1,005 peserta bertanding merebut gelaran, yang akan berlangsung dari 2 hingga 7 Disember ini.

Peserta tahun ini berasal daripada 23 negara, menandakan tahun kedua berturut-turut kejohanan melepasi 1,000 penyertaan, selepas mencatatkan 1,045 penyertaan pada tahun lalu, sekali gus menunjukkan peningkatan populariti dan prestij kejohanan.

Presiden Persatuan Raket Skuasy Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (SRAFTKL) dan Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Steven Kwan, berkata beliau gembira kerana edisi ke-17 kejohanan itu terus kekal sebagai acara platinum untuk tahun ketujuh sejak 2017.

“Kita boleh menjangkakan satu minggu yang menarik dengan perlawanan hebat daripada pemain-pemain ini yang bercita-cita menjadi juara dunia atau Olimpik suatu hari nanti. Kejohanan ini akan menjadi platform sempurna untuk mereka mencapai impian mereka,” katanya.

Malaysia menghantar kontinjen terbesar dengan 700 pemain, diikuti Hong Kong dan Singapura masing-masing dengan 67 peserta, China (35) dan Korea Selatan (31). Kejohanan akan berlangsung di empat venue utama, iaitu Jalan Duta Squash Courts, ACE UM Centre of Excellence di Bangsar, Royal Lake Club, dan Royal Selangor Club, Jalan Raja.

Sumber: BERNAMA

Exit mobile version