Kerajaan Gaza Bubar Jawatankuasa Darurat, Buka Jalan Penyerahan Kuasa Kepada Teknokrat

Pejabat Media Kerajaan Gaza mengumumkan pembubaran rasmi Jawatankuasa Darurat yang telah mentadbir wilayah Palestin itu selama dua dekad yang lalu. Langkah ini sekali gus membuka jalan kepada proses penyerahan kuasa pentadbiran yang akan diterajui oleh sebuah badan teknokrat bukan politik.

Dalam satu kenyataan, pihak berkuasa Gaza mengesahkan bahawa segala prosedur perundangan dan pentadbiran bagi penyerahan sistem pemerintahan enklaf itu telah selesai, selain mengesahkan peletakan jawatan pemangku pengerusinya.

Pelan peralihan tersebut telah dibentangkan kepada gabungan puak Palestin, Jawatankuasa Tinggi Klan dan Suku Kaum, serta kumpulan masyarakat sivil dengan disaksikan oleh seorang pemerhati Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Sepasukan penjawat awam teknikal sahaja yang akan mengekalkan jawatan masing-masing bagi memastikan perkhidmatan awam asas dapat diteruskan tanpa sebarang gangguan sepanjang tempoh peralihan ini.

Langkah Berniat Baik Kurangkan Penderitaan Rakyat

Menurut Kerajaan Gaza, keputusan pembubaran ini mencerminkan komitmen penuh mereka untuk menyusun semula struktur tadbir urus. Langkah ini juga bertujuan mengurangkan penderitaan melampau penduduk akibat perang genosid Israel yang berterusan, kelewatan proses pembinaan semula, sekatan ekonomi, serta kehadiran tentera rejim.

Kumpulan penentang Palestin menyifatkan tindakan ini sebagai bukti komitmen mereka terhadap Persefahaman Kaherah yang dicapai sebelum ini. Sehubungan itu, mereka menggesa pihak pengantara antarabangsa untuk menggunakan ruang ini bagi menekan Israel supaya menarik balik sekatan serta mengundurkan tenteranya dari Gaza.

Tindak Balas Pihak Israel: Saluran penyiaran awam Israel, KAN, memetik kenyataan seorang pegawai yang enggan dikenali, memperlekehkan pengumuman tersebut dan menyifatkannya sebagai “satu penipuan politik semata-mata yang tidak memberi kesan praktikal”. Pihak Tel Aviv mendakwa anggota jawatankuasa itu sebenarnya masih memegang jawatan dan langkah tersebut hanyalah taktik Hamas untuk mengelak daripada dituduh melanggar syarat gencatan senjata.

PBB Alukan Keputusan Pembubaran

PBB menyambut baik pengumuman tersebut dan menyatakan bahawa ia mampu menjadi pemangkin kepada kemajuan proses gencatan senjata yang lebih menyeluruh.

“Kami mengambil maklum pengumuman mengenai pembubaran Jawatankuasa Kerajaan Darurat dan pemindahan tanggungjawab pentadbiran kepada Jawatankuasa Kebangsaan untuk Pentadbiran Gaza (NCAG),” kata jurucakap PBB, Stephane Dujarric.

Beliau menambah bahawa PBB menyokong sebarang langkah yang menyumbang kepada pelaksanaan resolusi Majlis Keselamatan PBB yang berkaitan, termasuk perlindungan penuh ke atas orang awam dan akses bantuan kemanusiaan tanpa sekatan, selain terus menyokong tadbir urus Palestin yang bersatu di bawah Pihak Berkuasa Palestin (PA).

Sementara itu, Nikolay Mladenov, utusan utama Lembaga Keamanan untuk Gaza, menyifatkan keputusan ini sebagai “jambatan penting antara pengisytiharan dan pelaksanaan”. Beliau menegaskan jika NCAG berjaya mengambil alih tanggungjawab sepenuhnya, ia akan membuka ruang kepada penyahtauliahan senjata, pengunduran tentera Israel, dan pembinaan semula Gaza secara besar-besaran berdasarkan pelan tindakan yang diumumkan pada Mei lalu.

Sedia di Atas Kertas, Belum di Lapangan

NCAG ditubuhkan sebagai sebuah badan bebas dan bukan politik yang dianggotai oleh tokoh-tokoh nasional Palestin bagi menguruskan hal ehwal sivil harian. Bagaimanapun, jawatankuasa ini dilaporkan masih beroperasi di Kaherah, Mesir sejak pertengahan Januari dan belum dapat memasuki wilayah Gaza.

Penganalisis Palestin berpendapat bahawa tindakan Hamas membubarkan jawatankuasa darurat ini meletakkan ‘bola di gelanggang Israel’. Kini, komuniti antarabangsa perlu memainkan peranan yang berkesan untuk mendesak Israel memenuhi komitmen gencatan senjata mereka, termasuk membenarkan kemasukan bantuan kemanusiaan, bahan api, bahan perlindungan, serta membuka semula pintu sempadan.

Selagi Israel enggan membenarkan kumpulan teknokrat ini memasuki dan beroperasi di dalam Gaza, pelan peralihan kuasa ini dikhawatirkan akan kekal di atas kertas, sekali gus meletakkan pentadbiran awam Gaza dalam keadaan tidak menentu di kala serangan rejim masih berterusan.

Sumber: TRT World

Exit mobile version