Kerajaan Perpaduan Kekal Persekutuan Stabil dan Kukuh — PM Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan kekal stabil dan kukuh bagi memastikan pertumbuhan ekonomi serta keyakinan pelabur antarabangsa terhadap negara tidak terjejas.

Beliau berkata, kerjasama utuh antara parti politik di peringkat Pusat diterjemahkan menerusi kelancaran mesyuarat Jemaah Menteri yang berlangsung secara konsisten, meskipun wujud persaingan politik di peringkat negeri.

“Di peringkat negeri mungkin ada isu tetapi di peringkat pusat belum lagi, dan mudah-mudahan insya-Allah, kekal selepas pilihan raya.

“Baru-baru ini, saya bermesyuarat Jemaah Menteri bersama-sama (Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan) Datuk Seri Mohamad Sabu, (Menteri Pengangkutan) Anthony Loke, (Timbalan Perdana Menteri) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan pimpinan lain seperti biasa… kita perlu jaga kestabilan ini supaya ekonomi negara jangan tergugat, dan pelabur terus datang,” kata beliau.

Anwar berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Jelajah Kekal HARAPAN di Senawang malam tadi, sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16. Majlis tersebut turut dihadiri Mohamad Sabu, Timbalan Setiausaha Agung DAP Steven Sim, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun, serta Pengarah Pilihan Raya PH Datuk Seri Amirudin Shari.

Aminuddin Kekal Calon MB Negeri Sembilan

Dalam perutusan sama, Anwar yang juga Pengerusi PH mengulangi pendirian gabungan itu untuk mengekalkan Aminuddin Harun sebagai Menteri Besar sekiranya diberi mandat semula oleh rakyat.

Pendirian itu dibuat berdasarkan rekod perkhidmatan, keikhlasan, peribadi yang baik, serta tadbir urus bebas amalan penyelewengan yang ditunjukkan sepanjang Aminuddin memimpin negeri.

“Saya tengok dari segi rekod prestasi, keikhlasan, akhlak dan peribadi, ini calon Menteri Besar kita yang terbaik.

“Negeri Sembilan ini dah elok, melaksanakan apa yang dikatakan… jadi, hentikan amalan ‘sakau’ dan jadikan negeri ini contoh pentadbiran yang baik,” tambah beliau.

Saingan PRN Negeri Sembilan

Pada PRN kali ini, Pakatan Harapan bertanding di kesemua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, merangkumi 16 calon daripada PKR, 11 calon DAP, dan sembilan calon Amanah.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan 1 Ogos ini sebagai tarikh pengundian rasmi, manakala pengundian awal bakal berlangsung pada 28 Julai.

Sumber Informasi: BERNAMA

Exit mobile version