
Kepimpinan Kerajaan Perpaduan kekal komited mempertahankan muafakat sedia ada dan tidak akan mengambil sebarang langkah yang boleh dianggap sebagai mengkhianati rakan-rakan politik di dalam gabungan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa setakat ini pentadbiran Persekutuan kekal kukuh dan stabil, dengan semua parti komponen terus menghormati persefahaman yang telah dipersetujui bersama.
“Saya belum dengar lagi apa-apa pandangan (berbeza). Malah Jemaah Menteri, dari segi pimpinan yang ada itu tuntas dan konsisten menyatakan bahawa Kerajaan Perpaduan di peringkat kebangsaan harus kukuh,” kata beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dan Presiden PKR pada sidang media di sini, hari ini.
Kenyataan itu bagi mengulas desas-desus mengenai dakwaan beberapa bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Bersatu yang dikatakan bakal menyertai PKR, ekoran pergolakan hubungan politik blok pembangkang. Isnin lepas, Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang mengumumkan parti itu memutuskan hubungan dan kerjasama secara rasmi dengan Bersatu.
Anwar menjelaskan, pendekatan politik Kerajaan Perpaduan yang dibentuk bersama Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan beberapa parti lain sentiasa berteraskan rundingan dan perbincangan yang baik. Beliau menyatakan kerajaan tidak akan mengamalkan budaya memutuskan hubungan secara meluru.
“Kita dalam politik nak cerai, talak, kahwin itu bagi saya bukan cara kitalah. Kita runding dengan baik, bincang dengan baik, kerjasama dengan baik. Setakat ini, Kerajaan Perpaduan masih teguh walaupun di peringkat negeri dah ada yang berbeza pendapat sedikit,” katanya, sambil menambah bahawa dinamika politik negeri adalah di bawah tanggungjawab pimpinan masing-masing.
Beliau turut menambah bahawa fokus utama Putrajaya ketika ini kekal tertumpu kepada pelaksanaan agenda pembangunan negara serta memperkukuh kerjasama ekonomi di peringkat antarabangsa. Perdana Menteri dijadualkan menghadiri mesyuarat ASEAN-Rusia di Kazan minggu depan sebelum meneruskan lawatan kerja ke Turkmenistan bagi meneroka peluang sektor tenaga gas.
sumber: Bernama