
Ketegangan dalam kepimpinan tertinggi Israel semakin memuncak apabila Menteri Kewangan Bezalel Smotrich dan Ketua Turus Tentera Israel, Eyal Zamir, bertelagah hebat mengenai pendekatan ketenteraan terhadap Gaza.
Menurut laporan media tempatan, dalam satu mesyuarat Kabinet yang berlangsung Selasa lalu, Zamir memberi amaran bahawa rancangan untuk menduduki semula Gaza sepenuhnya akan mengambil masa bertahun-tahun. Sebaliknya, beliau mencadangkan agar serangan bersasar diteruskan sebagai pendekatan lebih efektif.
Smotrich membidas kenyataan itu dengan sinis dan menyebut, “Kami merindui Halevi,” merujuk kepada bekas Ketua Turus, Herzi Halevi. Komennya itu dilihat sebagai satu sindiran terhadap kepimpinan tentera yang enggan melaksanakan serangan darat sepenuhnya ke atas Gaza.
Smotrich dilaporkan menentang penggunaan serangan udara semata-mata, dan terus mendesak agar tentera melancarkan serangan berpanjangan serta menduduki semula Gaza secara menyeluruh. “Gaza adalah sebahagian yang tidak boleh dipisahkan daripada Tanah Israel,” katanya dalam satu kenyataan, menyuarakan sokongannya terhadap pembinaan penempatan haram Yahudi di wilayah itu.
Dalam masa yang sama, akhbar Haaretz melaporkan bahawa Perdana Menteri Benjamin Netanyahu telah membentangkan pelan kepada Kabinet Keselamatan untuk merampas semula Gaza secara berperingkat. Langkah ini dilihat sebagai usaha menyekat ancaman Smotrich yang sebelum ini memberi kata dua untuk meletak jawatan sekiranya bantuan kemanusiaan dibenarkan masuk ke Gaza.
Pelan itu, yang didakwa mendapat sokongan daripada pentadbiran Amerika Syarikat, memberikan tempoh tertentu kepada Hamas untuk bersetuju dengan gencatan senjata atau berdepan rampasan wilayah secara menyeluruh oleh Israel.
Serangan kejam Israel ke atas Gaza sejak 7 Oktober 2023 telah meragut lebih 60,000 nyawa rakyat Palestin, memusnahkan infrastruktur dan menyebabkan krisis kebuluran yang semakin meruncing.
Isnin lalu, dua kumpulan hak asasi Israel — B’Tselem dan Physicians for Human Rights-Israel — menuduh kerajaan Zionis itu melakukan pembunuhan beramai-ramai, termasuk secara sistematik memusnahkan komuniti Palestin dan sektor kesihatan di Gaza.
Pada November tahun lalu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) telah mengeluarkan waran tangkap terhadap Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan Yoav Gallant atas tuduhan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan. Israel kini turut berdepan kes di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung tuduhan pembunuhan beramai-ramai terhadap penduduk Gaza.
SUMBER – TRT World