
Ketua Staf Israel Eyal Zamir mengambil tindakan terkeras setakat ini terhadap beberapa pegawai tinggi angkatan bersenjata negara itu, selepas laporan siasatan terperinci mendedahkan kegagalan besar tentera dan perisikan dalam mencegah serangan 7 Oktober 2023. Keputusan yang diumumkan pada Ahad itu termasuk menamatkan perkhidmatan simpanan beberapa jeneral yang pernah memegang jawatan utama, sekali gus menutup ruang mereka untuk kembali berkhidmat.
Antara yang terlibat ialah bekas ketua Perisikan Tentera Aharon Haliva, bekas komander Komando Selatan Yaron Finkelman, dan bekas ketua Direktorat Operasi Oded Basyuk. Mereka sebelum ini sudah digugurkan daripada jawatan komando, namun tindakan terbaharu ini menamatkan sepenuhnya status simpanan mereka dalam tentera. Zamir turut memecat komander simpanan Bahagian Gaza Avi Rosenfeld, manakala pegawai perisikan bahagian yang sama dilaporkan dibuang terus daripada tentera.
Beberapa pegawai kanan lain, termasuk komander Tentera Udara Tomer Bar serta ketua Perisikan Tentera ketika ini, Shlomi Binder, menerima teguran kepimpinan tetapi tidak disingkirkan. Penyiar awam KAN melaporkan bahawa Haliva dan bekas ketua Unit 8200 Yossi Sariel tidak menghadiri sesi semakan atas alasan penjadualan, dan akan melalui proses penilaian lanjut sebelum perkhidmatan simpanan mereka ditamatkan secara rasmi.
Langkah drastik ini diambil dua minggu selepas Zamir menerima laporan komprehensif yang diketuai Jeneral bersara Sami Turgeman, yang memperincikan punca kegagalan sebelum serangan rentas sempadan oleh Hamas. Insiden itu dianggap sebagai kegagalan perisikan paling besar Israel dalam beberapa dekad, sekaligus mencalarkan kredibiliti tentera negara berkenaan.
Peristiwa 7 Oktober turut menyaksikan beberapa pemimpin tentera mengundurkan diri, termasuk ketua staf ketika itu Herzi Halevi. Di Gaza, serangan Israel sejak Oktober 2023 telah mengorbankan hampir 70,000 rakyat Palestin, majoritinya wanita dan kanak-kanak, serta mencederakan lebih 170,900 orang. Sebahagian besar wilayah terbabit kini musnah dan penduduknya hampir sepenuhnya dipindahkan.
Sumber: TRT World & Agencies