
Hari Jumaat selalu tiba dengan rutin yang sama, wudhu cepat-cepat, jalan sesak ke masjid, khatib membaca khutbah, kemudian pulang sambil memikirkan kerja yang belum siap.
Tapi dalam kesibukan itu, adakah kita sedar bahawa Jumaat bukan sekadar rehat mingguan? Ia adalah tanda kasih Allah SWT kepada lelaki Muslim iaitu peluang memperbaharui jiwa, bukan sekadar menunaikan kewajipan.
Apabila Solat Jadi ‘Checklist’
Kita hidup dalam zaman serba pantas. Ada yang solat Jumaat sambil mata masih di telefon, hati masih di pejabat dan fikiran masih di dunia maya. Solat Jumaat yang sepatutnya menjadi saat ‘recharge rohani’ berubah menjadi sekadar tanda kehadiran mingguan.
“Aku datang sebab wajib, bukan sebab rindu..”
— mungkin ungkapan jujur di hati bagi ramai lelaki yang mula hilang rasa dengan solat Jumaat.
Solat Jumaat Adalah Cerminan Diri
Khutbah yang disampaikan setiap minggu bukan hanya nasihat untuk didengar tetapi cermin untuk menilai diri. Bila khatib menyeru tentang kejujuran, keadilan atau kasih sesama Muslim, itu bukan sekadar khutbah umum. Itu mesej Allah SWT yang singgah di telinga kita sendiri.
Namun, berapa kali kita benar-benar mendengar dengan hati terbuka? Berapa kali khutbah itu mengubah cara kita bekerja, memimpin keluarga atau menahan diri daripada dosa kecil?
Antara Dunia & Akhirat, Ujian Lelaki Zaman Kini
Kita berlari mengejar rezeki, tapi kadang lupa siapa yang memberi. Kita mahu jadi lelaki berjaya, tapi lupa ukuran kejayaan sebenar bukan pada gaji atau pangkat tetapi sejauh mana kita menjaga hubungan dengan Allah SWT.
Solat Jumaat adalah tanda ketaatan, tapi juga mizan (timbangan) antara dunia dan akhirat. Jika kita boleh berhenti bekerja sejam demi Jumaat, mengapa tidak berhenti sebentar untuk menilai arah hidup kita?
Ayuh Kembali Menghayati Jumaat!
Mulai hari Jumaat ini, cuba hadir bukan sekadar jasad tetapi hati.
- Datang awal, dengar khutbah sepenuhnya.
- Simpan telefon bimbit, fokus pada ayat dan doa.
- Lihat wajah-wajah di sekeliling saf, kita semua sedang berjuang sama.
- Doakan rakan, saudara dan umat Islam yang diuji di seluruh dunia.
Kerana setiap kali kita sujud berjemaah pada hari Jumaat, kita sebenarnya sedang menyambung doa seluruh umat Islam di muka bumi.
Hari Jumaat, Janji Antara Lelaki & Allah SWT
Rasulullah SAW ﷺ pernah bersabda:
“Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat, bersuci sebaik-baiknya, memakai pakaian terbaiknya, lalu keluar dan mendengar khutbah tanpa bercakap perkara sia-sia, maka diampunkan dosanya antara dua Jumaat.”
(Riwayat al-Bukhari)
Maka mulai hari ini, tanyalah diri sendiri, “Adakah solat Jumaat aku ini sekadar kewajipan atau perjanjian rohani dengan Allah SWT yang sedang menanti kita setiap minggu?