
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan bahawa kenaikan harga minyak di Malaysia susulan konflik di Asia Barat bukan disebabkan oleh masalah kekurangan bekalan semata-mata.
Sebaliknya, beliau berkata faktor utama yang mendorong kenaikan tersebut adalah lonjakan premium risiko serta kos logistik yang meningkat secara mendadak.
Menurut beliau, walaupun laluan utama bekalan bahan api masih beroperasi dan penghantaran minyak ke dalam negara tidak terhenti, kos sebenar telah meningkat tinggi akibat faktor insurans dan pengangkutan.
“Kos minyak yang lama diambil sebelum perang tersangkut di (Selat) Hormuz dan sekarang beralih ke Pengerang, itu kosnya meningkat.
“Oleh kerana kos insurans itu sudah melepasi 100 peratus, kos pengangkutan sendiri, caj penghantaran juga bertambah. Maknanya minyak yang asalnya itu sepatutnya rendah (kosnya) untuk diproses di Pengerang, (kini) sudah meningkat kosnya,” kata beliau.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Pengangkutan di sini hari ini.
Konflik yang berlarutan di Asia Barat telah mencetuskan ketidaktentuan dalam pasaran tenaga global, memaksa syarikat perkapalan dan penyedia insurans menaikkan kadar caj bagi melindungi aset mereka yang melalui zon berisiko tinggi.
Situasi ini secara langsung memberi kesan kepada kos operasi pusat pemprosesan seperti di Pengerang, Johor, yang akhirnya memberi tekanan kepada harga runcit bahan api di peringkat domestik.
— BERNAMA