Lebih 1,300 Pembuat Filem dan Pelakon Dunia Ikrar Boikot Institusi Perfileman Israel

Lebih 1,300 tokoh dalam industri perfileman antarabangsa, termasuk pemenang anugerah Oscar, BAFTA, Emmy dan Cannes, telah menandatangani ikrar untuk tidak bekerjasama dengan institusi perfileman Israel yang didakwa terlibat dalam pembunuhan beramai-ramai serta dasar apartheid terhadap rakyat Palestin.

Dalam kenyataan bersama pada Isnin, para penandatangan menegaskan bahawa mereka mengiktiraf kuasa besar pawagam dalam membentuk persepsi masyarakat, dan justeru itu, enggan menjadi sebahagian daripada sebarang bentuk normalisasi penindasan yang sedang berlaku di Gaza.

“Dalam masa krisis yang mendesak ini, di mana banyak kerajaan membiarkan pembunuhan beramai-ramai di Gaza, kita mesti melakukan segala yang mampu untuk menamatkan persekongkolan dalam kengerian ini,” tegas kenyataan tersebut.

Mereka turut mengingatkan bahawa Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) sebelum ini telah menyatakan terdapat risiko pembunuhan beramai-ramai yang munasabah di Gaza, sekali gus menjadikan perjuangan kebebasan sebagai “tanggungjawab moral yang tidak boleh diabaikan.”

Solidariti Industri Filem

Gerakan boikot itu diinspirasikan oleh Filmmakers United Against Apartheid yang pernah menolak untuk menayangkan karya mereka di Afrika Selatan ketika era apartheid.

Kenyataan tersebut menambah bahawa mereka tidak akan menayangkan filem, menghadiri festival, atau bekerjasama dengan mana-mana institusi filem Israel – termasuk festival, pawagam, syarikat produksi dan penyiar – selagi penindasan dan kekejaman terhadap rakyat Palestin berterusan.

Antara nama besar yang menandatangani ikrar ini termasuk Olivia Colman, Javier Bardem, Susan Sarandon, Mark Ruffalo, Riz Ahmed, Tilda Swinton, Ken Loach, Aimee Lou Wood, Julia Sawalha, Miriam Margolyes dan Juliet Stevenson.

Krisis Kemanusiaan di Gaza

Sejak Oktober 2023, serangan Israel ke atas Gaza telah mengorbankan lebih 64,500 rakyat Palestin, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan. Serangan bertubi-tubi itu bukan sahaja memusnahkan kawasan penempatan, malah menyebabkan kebuluran akibat sekatan yang dikenakan.

Pada November lalu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, serta bekas Menteri Pertahanan Yoav Gallant atas tuduhan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan. Israel juga kini berdepan kes pembunuhan beramai-ramai di Mahkamah Keadilan Antarabangsa.

Sumber: TRT World / AA

Exit mobile version