
Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2026 mendedahkan wujudnya kelemahan ketara dalam perbelanjaan dan kawalan dalaman melibatkan pembangunan Projek MyDigital ID (MyDID) yang diuruskan oleh MIMOS Berhad (MIMOS).
Laporan yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini menunjukkan bahawa struktur tadbir urus projek tersebut tidak berfungsi seperti yang ditetapkan, termasuk kegagalan membuat pembentangan rasmi mengenai kelulusan perbelanjaan dan status pelaksanaan projek.
Perbelanjaan Tanpa Kelulusan
Hasil audit mendapati sejumlah RM28.13 juta telah dibelanjakan tanpa mendapat lampu hijau daripada jawatankuasa yang sepatutnya. Pecahan ketidakpatuhan tersebut merangkumi:
-
RM4.08 juta: Perbelanjaan bagi 11 subskop projek yang melebihi atau tanpa penyaluran peruntukan.
-
RM70,000: Perbelanjaan yang melebihi jumlah kos bagi satu subskop tertentu.
Salah Guna Dana Pembangunan
Pihak Audit turut mendedahkan ketidakpatuhan serius terhadap Garis Panduan Pelaksanaan Projek Pembangunan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12). Sebanyak RM14.09 juta dana pembangunan telah digunakan secara tidak sah untuk membiayai:
-
Kos sumber (resource cost) dan emolumen.
-
Kemudahan perubatan kakitangan.
-
Perolehan kelengkapan pejabat.
Mengikut peraturan, dana pembangunan tidak dibenarkan untuk membiayai kos operasi dan emolumen sedemikian, sekali gus menunjukkan perbelanjaan tidak mengikut tujuan asal peruntukan (purpose of vote).
Pembaziran Aset dan Perolehan
Laporan itu juga mengesan kelemahan dalam kawalan aset apabila pembelian peralatan seperti security cage dan door access dibuat tanpa kelulusan Makmal Kajian Nilai. Lebih dikesalkan, peralatan tersebut akhirnya tidak digunakan, yang membawa kepada pembaziran kewangan yang nyata.
Syor Penambahbaikan
Bagi mengelakkan kerugian dana awam berulang, LKAN menyyorkan agar MIMOS:
-
Memastikan semua perbelanjaan mematuhi struktur kos dan tujuan peruntukan yang diluluskan.
-
Mematuhi sepenuhnya Garis Panduan RMK12.
-
Memantapkan tadbir urus Geran Pembangunan bagi menjamin ketelusan dan akauntabiliti dalam setiap keputusan perolehan.
Untuk rekod, kerajaan melantik MIMOS sebagai agensi pelaksana MyDID pada November 2023 dengan peruntukan awal sebanyak RM80 juta.
Sumber: BERNAMA / Laporan Ketua Audit Negara (LKAN)