
Malaysia mencatat pertumbuhan ekonomi yang positif dan berdaya tahan pada 2025, menunjukkan prestasi lebih kukuh berbanding jangkaan pada suku ketiga tahun ini, menurut Bank Dunia.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Dunia bagi Malaysia, Apurva Sanghi, berkata pertumbuhan Malaysia sekitar empat peratus bagi ketiga-tiga suku tahun ini adalah amat memberangsangkan.
“Situasi ekonomi global tidak begitu baik dengan pertumbuhan yang perlahan, pelaburan yang tidak berkembang dan hutang yang meningkat. Dari perspektif itu, Malaysia berada dalam keadaan yang agak baik,” katanya kepada pemberita selepas Persidangan Tinjauan Ekonomi Negara (NEOC) di sini hari ini.
Beliau bagaimanapun menekankan bahawa cabaran global termasuk kelembapan pertumbuhan dunia, aliran pelaburan yang lemah serta pengurangan aliran pelaburan langsung asing (FDI) ke negara membangun akan menjadikan 2026 lebih mencabar.
“Angka prestasi suku keempat akan menentukan lagi, dan kami akan mengemas kini pada April depan. Bagaimanapun, berita baiknya ialah pertumbuhan pada tiga suku tahun pertama menunjukkan daya tahan yang kukuh. Ujian sebenar adalah tahun depan,” katanya.
Pada Oktober lalu, Bank Dunia telah menaikkan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia pada 2025 kepada 4.1 peratus berbanding unjuran awal 3.9 peratus.
Apurva yang memuji program rasionalisasi subsidi kerajaan berkata pembaharuan tarif air, penggunaan elektrik berskala besar oleh industri, diesel, ayam dan telur menunjukkan strategi kerajaan dilaksanakan dengan baik. Beliau juga mengakui peningkatan aliran masuk FDI yang kebanyakannya dipacu oleh pelaburan pusat data, sambil menekankan keperluan menilai impak jangka panjang pelaburan tersebut terhadap pekerjaan dan kemampanan.
Dalam perbincangan panel mengenai Tinjauan Ekonomi Malaysia, Asia dan Dunia 2026-2027, beliau mencadangkan Malaysia mengurangkan tarif secara tidak diskriminasi bagi semua rakan dagang untuk manfaat pembeli tempatan.
Sumber: BERNAMA