Malaysia Disaran Pertimbang Konsep ‘Gaji Hidup’ Bagi Tangani Kos Sara Hidup Bandar

Malaysia wajar beralih daripada konsep gaji minimum nasional kepada pelaksanaan ‘gaji hidup’ (living wage) bagi mendepani realiti peningkatan kos sara hidup yang semakin mencabar, terutamanya di kawasan bandar besar. Pakar ekonomi berpendapat pendekatan ini lebih realistik untuk memastikan pekerja mampu hidup dengan maruah, sekali gus membantu mengurangkan tekanan kewangan dan meningkatkan produktiviti dalam menyokong pertumbuhan ekonomi yang lebih inklusif.

Koordinator MASMED UiTM, Dr. Mohamad Idham Md Razak, menjelaskan bahawa pendekatan gaji minimum sedia ada dilihat semakin kurang relevan kerana ia tidak mengambil kira perbezaan kos sara hidup yang ketara antara lokasi seperti bandar besar dan kawasan luar bandar. Beliau menegaskan bahawa masalah timbul apabila kenaikan kos di bandar tidak disertai dengan pertumbuhan gaji yang setimpal, yang akhirnya mencerminkan ketidakseimbangan antara produktiviti dan pendapatan pekerja.

Senada dengan pandangan itu, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, menyatakan bahawa pengelasan isi rumah berdasarkan pendapatan kasar (B40, M40, T20) kini kurang sesuai untuk dijadikan rujukan tunggal. Ini kerana pengelasan tersebut gagal mengambil kira perbelanjaan asas yang jauh berbeza mengikut lokasi geografis. Beliau menambah bahawa ramai individu yang berhijrah ke bandar demi pendapatan lebih tinggi akhirnya terperangkap dalam krisis kos sara hidup sehingga terpaksa melakukan dua atau tiga pekerjaan serentak untuk kelangsungan hidup.

Data daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) turut menyokong keperluan perubahan ini melalui Indeks Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW). Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang, dan Putrajaya direkodkan sebagai kawasan dengan kos sara hidup tertinggi di negara ini. Dengan Selangor mencatatkan indeks kedua tertinggi selepas ibu negara, keperluan untuk menstruktur semula sistem gaji berdasarkan keperluan sebenar kehidupan wajar di setiap negeri dilihat sebagai satu langkah kritikal bagi mengurangkan jurang sosioekonomi rakyat.

Sumber: BERNAMA

Exit mobile version