
Malaysia melakar kejayaan membanggakan di pentas serantau apabila merangkul enam anugerah pada pertandingan ASEAN GeoAI Fusion 2026, termasuk dinobatkan sebagai juara keseluruhan menerusi pasukan Grabber yang mengetengahkan keupayaan bakat tempatan dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dan teknologi geospatial.
Pada majlis penutupan program yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, pasukan Grabber diumumkan sebagai juara keseluruhan, diikuti oleh pasukan Starlink di tempat kedua dan Snack Overflow di tempat ketiga, manakala pasukan Geovisionaries (Myanmar) serta Kandila (Brunei) melengkapkan senarai lima kedudukan teratas.
Pasukan Grabber turut memenangi anugerah ASEAN Best GeoAI Innovation, sementara AI Slop Final Boss merangkul ASEAN Best Sustainable Development Impact, dan Starlink memenangi ASEAN Best Spatial Intelligence.
Platform Pembangunan Bakat Serantau
Teo Nie Ching dalam ucapannya berkata, program sulung anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu berjaya menghimpunkan seramai 1,112 peserta dari 11 negara anggota ASEAN, di mana 72 peratus daripadanya terdiri daripada golongan mahasiswa. MCMC kini berhasrat untuk mencadangkan kepada Sekretariat ASEAN agar program tersebut dijadikan acara rasmi tahunan atau dua tahun sekali yang boleh dianjurkan oleh negara anggota lain pada masa hadapan.
Juara keseluruhan, Grabber, dianggotai oleh Chin Jun Quan (Universiti Malaya) dan Wong Yong Xi (Universiti Putra Malaysia), telah membangunkan projek inovatif dinamakan Segrit3D. Projek itu menggabungkan pemodelan 3D, data geospatial, dan AI bagi menyokong perancangan rangkaian 5G serta memperluas kesalinghubungan telekomunikasi di kawasan luar bandar di rantau ASEAN. Menerusi kemenangan itu, mereka membawa pulang dua trofi, hadiah utama bernilai USD5,000, serta wang tunai tambahan sebanyak USD500.
Sumber: BERNAMA