Menteri Sukan Sepanyol Desak Larangan Pasukan Israel, Dakwa Berlaku ‘Double Standard’

Menteri Sukan Sepanyol, Pilar Alegria, menggesa agar pasukan Israel dilarang daripada menyertai kejohanan sukan antarabangsa, sama seperti tindakan yang dikenakan terhadap Rusia pada 2022 selepas pencerobohan Ukraine.

Alegria berkata, langkah itu wajar memandangkan serangan Israel di Gaza telah mengorbankan puluhan ribu orang awam, namun pasukan Israel-Premier Tech masih dibenarkan bertanding dalam perlumbaan berbasikal Vuelta a Espana.

“Adalah sukar difahami mengapa terdapat standard berganda. Kita melihat pembunuhan beramai-ramai berlaku hari demi hari. Persekutuan dan jawatankuasa antarabangsa seharusnya mengambil keputusan sama seperti pada 2022,” katanya kepada stesen radio Sepanyol, Cadena SER.

Pasukan Israel-Premier Tech, milik bilionair Israel-Kanada Sylvan Adams, bukanlah pasukan negara tetapi menerima sokongan terbuka Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu. Kehadiran mereka di Vuelta mencetuskan protes besar, termasuk pengibaran bendera Palestin dan sekatan laluan penunggang.

Beberapa peringkat perlumbaan telah terjejas akibat demonstrasi, dengan peringkat ke-11, 16 dan 18 terpaksa dipendekkan atas faktor keselamatan. Alegria mengakui protes itu adalah “logik” dan mencerminkan sentimen rakyat.

“Lebih 60,000 orang telah terbunuh, termasuk kanak-kanak dan bayi yang mati kelaparan, hospital pula musnah. Dalam situasi ini, sukan tidak boleh dipisahkan daripada realiti dunia,” tegasnya.

Kerajaan Sepanyol pimpinan Pedro Sanchez sebelum ini mengutuk keras serangan Israel, malah menyifatkannya sebagai “pembunuhan beramai-ramai,” menjadikan Madrid antara kerajaan Eropah paling lantang menyokong Palestin.

— TRT World

Exit mobile version