
Kejohanan Grand Prix (GP) Malaysia 2025 yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) mencatat kehadiran seramai 195,000 pengunjung sepanjang hujung minggu perlumbaan itu, sekali gus menunjukkan peningkatan berbanding tahun lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif, berkata meskipun penganjuran kali ini bertembung dengan Sidang Kemuncak ASEAN yang berlangsung serentak, sambutan orang ramai tetap memberangsangkan.
“Walaupun kita tidak mencapai sasaran 200,000 pengunjung, Alhamdulillah sambutannya amat baik. Ramai yang hadir walaupun terdapat penutupan jalan susulan Sidang Kemuncak ASEAN. Tempat duduk di grandstand juga penuh dengan penonton yang memberi sokongan kepada semua pelumba,” katanya ketika ditemui semalam.
Beliau berkata peningkatan jumlah pengunjung turut memberi kesan positif terhadap kutipan jualan tiket yang meningkat berbanding tahun sebelumnya.
“Tahun ini, jualan tiket menunjukkan peningkatan yang ketara walaupun masih ada ruang untuk penambahbaikan terutama dari segi strategi pemasaran. Promosi ‘beli satu percuma satu’ yang diperkenalkan sejak hari pertama turut membantu menarik lebih ramai peminat,” jelasnya.
Mengulas mengenai pertembungan acara dengan Sidang Kemuncak ASEAN, Azhan Shafriman mengakui terdapat kebimbangan awal terhadap penutupan jalan dan lencongan trafik, namun kerjasama pihak berkuasa berjaya memastikan keadaan terkawal.
“Ramai penonton datang lebih awal bagi mengelak kesesakan, dan walaupun masih berlaku kesesakan seperti tahun-tahun sebelum ini, ia masih dalam kawalan. Untuk tahun depan, kita akan merancang dengan lebih baik dari segi aliran trafik masuk ke litar,” katanya.
Menurutnya, SIC juga akan menambah baik kemudahan sedia ada termasuk fasiliti tandas bagi meningkatkan keselesaan pengunjung pada musim perlumbaan akan datang.
Sumber: Bernama